Home Seni Hidup Aroma kisah hidup Shalma Eliana

Aroma kisah hidup Shalma Eliana

KUALA LUMPUR – Berbekalkan vokal yang merdu dan rupa paras yang cantik ketika menyanyikan lagu saduran tempatan dan antarabangsa yang dikongsinya di laman Instagram, penyanyi muda Shalma Eliana mula mencuri perhatian ramai.

Penyanyi yang mesra disapa sebagai Yana ini memulakan kerjaya seninya dengan single debut Janji Terindah pada tahun 2018 dan namanya semakin meningkat naik apabila muncul dengan single keduanya Mahukah Kamu pada tahun 2019.

Walaupun kerjaya seninya masih hijau, penyanyi yang berusia 20 tahun ini boleh berbangga apabila diberi peluang mempamerkan bakatnya di arena antarabangsa apabila terpilih untuk berkolaborasi dengan artis-artis wanita dari seluruh Asia Tenggara dalam menghasilkan lagu ‘Heal’, sebuah projek khas kelolaan Star Music, anak syarikat konglomerat media ABS-CBN yang berpusat di Filipina.

Lagu Heal yang baharu saja dilancarkan pada September lalu merupakan projek yang pertama seumpamanya di rantau ini, bertujuan menyampaikan rasa cinta dan memacu penyatuan warga rantau ini dalam menghadapi suasana tidak ketentuan dan waktu mencabar akibat pandemik Covid-19.

Sebagai usaha untuk mengharumkan lagi namanya dalam persada seni, kini penyanyi yang mesra disapa sebagai Yana ini bakal tampil dengan single terbaharunya  berjudul Aroma.

Mengulas tentang single ketiganya ini, Yana berkata, lagu-lagunya sebelum ini membawa mesej ringan seiring dengan umurnya  ketika itu yang masih belasan tahun tetapi kali ini menerusi Aroma dia cuba menampilkan sisi matang dirinya.

“Aroma sedikit sebanyak ada kaitan dengan kisah hidup saya, bukan sahaja sarat dengan perasaan marah dan sedih malah penuh dengan aura kekuatan diri. Bagi saya lagu ini meraikan wanita yang mempunyai jati diri yang kuat, wanita yang tidak membiarkan maruah dirinya terus dipijak dan tahu apa yang terbaik untuk dirinya sendiri.

“Lagu ini membawa mesej, sayangi dan hargailah diri sendiri kerana hubungan yang paling penting dalam hidup kita adalah hubungan dengan diri sendiri,” jelasnya.

Menurut Yana, lagu ciptaan Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat itu mengisahkan tentang pasangan bercinta yang diuji dengan kecurangan oleh pihak lelaki yang merasakan bahawa kekasihnya tidak akan berubah hatinya walau apa jua yang dilakukannya.

“Aroma dalam lagu ini boleh membawa banyak maksud. Ia mungkin bermaksud hubungan atau harga diri, namun bagi saya ia bermaksud tingkah laku seseorang.

“Dalam bait lirik ada berkata tentang ‘Jaga Aroma’, ia boleh disifatkan sebagai jaga tingkah laku. Kalau bau busuk tidak menyenangkan orang, begitu juga dengan orang yang berperangai buruk,” ujarnya.

Bercakap tentang harapannya untuk lagu ini, Yana berkata, apa yang paling penting buat dirinya ialah pendengar boleh ‘relate’ dengan lagu berkenaan.

“Saya ada ramai kawan yang menghadapi situasi yang sama. Buat sesiapa di luar sana yang pernah menghadapi situasi yang sama, saya harap dengan lagu ini anda tidak lagi berasa keseorangan. Dan semestinya saya berharap, everyone will love this song as much as I do!,” katanya.

Lagu terbitan Universal Music Malaysia ini boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer bermula 23 Oktober lalu. Video muzik rasmi Aroma boleh dilayari di saluran YouTube Shalma Eliana VEVO. – MalaysiaGazette