Home Nasional Fokus penjagaan kesihatan Sabah, tak perlu isytihar darurat – MMA

Fokus penjagaan kesihatan Sabah, tak perlu isytihar darurat – MMA

Aktiviti harian nelayan dan penduduk tempatan di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu Sabah. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 17 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan Persekutuan agar mempercepatkan penyaluran dana kecemasan dan semua bantuan yang amat diperlukan ke Sabah dalam memerangi wabak COVID-19 dan bukannya mengisytiharkan darurat.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Datuk Dr Subramaniam Muniandy berkata, tiada keperluan untuk mengisytiharkan darurat buat masa ini, sebaliknya bantuan kewangan segera dari kerajaan Persekutuan diperlukan untuk mengekang penularan COVID-19 di Sabah, jika tidak mungkin berlaku keruntuhan menyeluruh terhadap sistem penjagaan kesihatan.

“Kini, masanya untuk penyelesaian bersama situasi wabak COVID-19 secara saintifik dan praktikal di negara ini dan bukannya masa untuk pertelingkahan politik yang tidak dapat memulihkan keadaan dengan apa cara sekali pun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap minit kelewatan dalam menghantar misi bantuan ke Sabah, akan menjejaskan usaha negara menangani bencana nasional yang mungkin akan menjadi antara episod hitam yang terburuk dalam sejarah negara ini.

“Penularan jangkitan COVID-19 secara meluas dalam komuniti mungkin meningkat dengan cepat di seluruh negara. Bilangan kes harian yang dilaporkan mungkin jauh lebih sedikit berbanding jumlah sebenar berikutan kelewatan dalam melaporkan hasil ujian, pengesanan kontak dan pengasingan individu yang dijangkiti,” katanya.

Dr Subramaniam berkata, katil di kebanyakan hospital di Sabah juga telah penuh dan di beberapa kawasan, kes COVID-19 yang kurang teruk perlu diasingkan dan rawatan di rumah dilakukan.

“Oleh, itu dikhuatiri bahawa kes-kes COVID-19 yang lebih serius mungkin meningkat lebih banyak berikutan kadar jangkitan dan kematian di Sabah jauh lebih tinggi berbanding angka di peringkat nasional, sekali gus menjadikan ia antara negeri tertinggi kes di negara ini.

Subramaniam berkata, petugas barisan hadapan juga dilaporkan hampir putus asa berikutan kepenatan, tekanan mental dan kekurangan tenaga kerja yang serius.

Oleh itu katanya, lebih ramai pekerja penjagaan kesihatan amat diperlukan dan kerajaan diminta untuk mempertimbang bagi mendapatkan lebih banyak bantuan kemudahan kesihatan awam dari negeri-negeri yang kurang kes jangkitan COVID-19 untuk ditugaskan ke Sabah ketika ini.

Dorongan daripada kerajaan juga amat diperlukan dalam isu menangani kemampuan melakukan ujian saringan, termasuk dengan melibatkan sektor swasta dan sumber lain dalam negara.

Menurut beliau, sejumlah besar penempatan semula petugas dilakukan di dalam negeri itu sendiri dan bukan dari negeri lain yang mungkin tidak menambah jumlah petugas kesihatan di Sabah.

“Kes-kes dijangka terus meningkat di Sabah berikutan keputusan ujIan yang masih belum diperoleh. Gesaan daripada kerajaan diperlukan dalam isu kekurangan upaya dalam menjalankan ujian  termasuk dengan melibatkan sektor swasta dan negeri lain.

“Kelewatan melakukan ujian sangat mempengaruhi kemampuan sistem untuk menjejak kontak dan melakukan pengasingan individu yang dijangkiti serta mencegah penyebaran jangkitan seterusnya,” katanya.

Katanya, semua rakyat Malaysia harus bersatu dalam memerangi COVID-19, terutama rakyat Sabah, kerana keadaannya serius dan negeri itu memerlukan semua bantuan yang diperlukan dari segi peralatan pelindung diri (PPE), peralatan perubatan, dan bantuan kewangan untuk keperluan penjagaan kesihatan mereka.

“Tidak seperti di Semenanjung, Sabah hanya mempunyai sembilan hospital awam, dan cabaran juga dihadapi daripada segi akses kepada penjagaan kesihatan awam kerana ramai penduduk Sabah tinggal di kawasan yang terpencil,”.

“Kami juga meminta semua pemimpin, tanpa mengira fahaman politik dan seluruh negara untuk bersama-sama Sabah dan melakukan yang terbaik,” katanya.

Katanya, semua kawasan lain di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berada dalam keadaan terkawal dan keadaan akan bertambah baik melalui pendekatan sedia ada. – Bernama