KUALA LUMPUR – Polis menahan 617 orang warga China dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan pusat panggilan berbanding 868 warga negara yang sama pada tahun lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Komisioner Datuk Zainuddin Yaakob berkata, Kuala Lumpur adalah negeri paling banyak membabitkan kes tangkapan sindiket pusat panggilan, iaitu 20 serbuan dengan 189 suspek ditangkap.
“Daripada 60 serbuan sejak Januari hingga 23 Oktober lalu, sebanyak 29 serbuan melibatkan pusat panggilan penipuan pelaburan saham dalam talian manakala 28 serbuan lagi berkaitan judi online dan tiga serbuan kesalahan pinjaman wang.
“Bagi tahun 2019, sebanyak 28 serbuan polis adalah berkenaan pusat panggilan penipuan pelaburan saham dalam talian, diikuti 11 serbuan jenayah judi online dan tujuh serbuan berkaitan penipuan Macau Scam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zainuddin, sindiket pusat panggilan berkenaan menggunakan modus operandi merekrut pekerja warga China untuk memperdaya mangsa warga negara itu.
Katanya, ahli yang direkrut akan diberi latihan kemahiran menggerakkan kegiatan itu, dibelikan tiket penerbangan dan ditawarkan gaji lumayan.
“Dalang warga China yang telah siap dilatih itu akan mendapatkan bantuan logistik, kemudahan jalur lebar, perkakasan komputer, telefon bimbit dan tempat tinggal dengan bantuan seorang warga tempatan yang menjadi agen sindiket itu.
“Waktu operasi kebanyakan sindiket ini adalah bermula 8 pagi hingga 9 malam setiap hari dan mangsa dari China akan diperdaya menggunakan media sosial khususnya aplikasi WeChat, Facebook dan QQ.
“Setiap mangsa warga China yang diperangkap melabur akan disediakan apliksi akaun WeChat dan disediakan promosi saham yang menguntungkan mereka setiap hari sebagai kaedah meyakinkan mereka sebelum pembayaran wang pelaburan agak besar diambil dari mereka menerusi akaun bank China menggunakan WeChat Pay atau AliPay,” ujarnya. – MalaysiaGazette