SIBU – Sepasang suami isteri dan seorang remaja maut selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori kargo di Simpang Salcra, Jalan Saratok-Sarikei, kira-kira 110 km dari sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Raju Lian, 43, dan isterinya, Irene Jerah, 44, serta seorang remaja perempuan Vanessa Deborah Medan, 16, yang belum dapat disahkan kaitannya dengan pasangan berkenaan.
“Dua anak pasangan itu yang dikenal pasti sebagai Geneyses Rachle Raju, 15, dan Bakter None Raju, 20, serta seorang lagi penumpang remaja lelaki, Moses Medan, 13, cedera dan telah dibawa ke Hospital Saratok,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Katanya, ketika kejadian kira-kira pukul 5.30 petang, lori kargo itu menuju ke arah Sarikei sebelum bertembung dengan kereta jenis Proton Saga berkenaan, bagaimanapun pemandu dan kelindan lori kargo tidak mengalami kecederaan.
“Anggota bomba menggunakan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit di dalam kereta yang remuk itu dan disahkan meninggal dunia oleh petugas Jabatan Kesihatan yang tiba di tempat kejadian, sementara tiga lagi yang cedera telah dibawa ke Hospital Saratok untuk rawatan lanjut,” katanya. – Bernama