KUALA LUMPUR – Pendirian UMNO serta ahli-ahli Parlimennya untuk terus mengekalkan sokongannya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan parti Melayu terbesar itu penyelamat dalam semua keadaan politik di negara ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Mohd Rafii berkata, UMNO bukan sahaja menyelamatkan ketidakstabilan pentadbiran kerajaan bahkan parti itu cuba mengelak berlakunya pilihan raya umum ketika negara bergelut memerangi pandemik Covid-19.
“Apabila negara di tengah krisis, UMNO datang sebagai penyelamat. Apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan dan negara tidak mahu ke kancah PRU-15, UMNO datang sebagai penyelamat.
“Apabila cadangan Kerajaan PN ditolak oleh Majlis Raja-Raja, tidak pernah terjadi dalam sejarah cadangan darurat ditolak, bila mana kerajaan di hujung tanduk, UMNO terus bersama mendahulukan kepentingan rakyat.
“Inilah parti keramat, bercelaru permainan politik atau datang persimpangan macam mana pun, UMNO akan terus mendahulukan kepentingan rakyat,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook hari ini.
Ahad lalu, Majlis Raja-Raja menolak beberapa cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin termasuk pelaksanaan darurat kesihatan dalam menangani gelombang ketiga penularan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan.
Menurut Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasakan tiada keperluan pada masa ini untuk mengisytiharkan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B).
Susulan tindakan matang UMNO yang terus menjaga kepentingan Raja-Raja Melayu, keselamatan, kesihatan, ekonomi serta mengekalkan sokongan kepada PN, sudah tiba masanya parti itu diberi peluang mentadbir negara.
“Sekian lama UMNO menjaga rakyat Malaysia, 60 tahun kita aman dan hidup tenteram. Kali ini UMNO terus menjadi penyelamat rakyat.
“Waktu tidak boleh berputar, PRU-14 sudah diputuskan, namun sekian lama UMNO menjadi penyelamat, kenapa tidak UMNO terus meneraju negara?
“Rakyat akan terus hidup tenteram, ekonomi akan terus bergerak, kesejahteraan rakyat terus dijaga,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
Pak Pandir politikus kemaruk sokongan undi pendatang menang bersorak tetapi tergadai Penang dan Singapore dibiarkan dijajahi kuasa politik majority undi pendatang.
Nk muntah dengar oiii