Home Politik Dakwaan mesej Muhyiddin minta senarai calon PRU-15 tak betul

Dakwaan mesej Muhyiddin minta senarai calon PRU-15 tak betul

Perdana Menteri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR – Dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin ada meminta senarai calon untuk Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) tidak benar.

Itu kata seorang Ketua Bahagian Bersatu mengenai mesej tular di aplikasi WhatsApp semalam.

“Tak betul, saya dan rakan-rakan KB @ WP tak dapat mesej tu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau yang merupakan salah seorang Ketua Bahagian Bersatu Kuala Lumpur berkata, mustahil untuk Muhyiddin untuk mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar Parlimen dibubarkan.

Ujarnya, ia sesuatu yang tidak diterima akal disebabkan peningkatan kes positif pandemik Covid-19 yang semakin memuncak masa ini.

“Tidak masuk akal, masa Covid-19 tengah tinggi,” katanya lagi.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung mesej Muhyiddin yang didakwa memohon agar semua Ketua Bahagian Bersatu untuk menyenaraikan calon bagi kerusi Parlimen.

“Info terkini!!! Difahamkan semua Bahagian Bersatu telah diminta menyenaraikan calon2 drp Bersatu selewat-lewatnya Rabu ini.

“PM nak bubar Parlimen,” tulis mesej berkenaan.

Juga tular sebelum ini mesej yang didakwa disampaikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mesej dalam aplikasi WhatsApp itu berkata Ismail Sabri meminta Muhyiddin agar membubarkan Dewan Rakyat bagi pihak UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Ia bagaimanapun telah dijelaskan oleh pegawai beliau sebagai tuduhan palsu.

Paparan perbualan itu direka untuk menjatuhkan imej Ahli Parlimen Bera itu dan merupakan cubaan menimbulkan rasa marah rakyat kepada UMNO dan BN. – MalaysiaGazette