KUALA LUMPUR – Selepas mendengar pembentangan daripada kerajaan negeri Sarawak berhubung peningkatan kes positif Covid-19, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki, Kuching berkuatkuasa 28 Oktober hingga 10 November ini.
PKPD ini merangkumi 532 unit rumah yang melibatkan seramai 4,191 orang penduduk.
“Sehingga 26 Oktober 2020, sebanyak 845 saringan yang telah dilaksanakan dan 27 orang didapati positif COVID-19.
“Atas nasihat KKM, sidang khas bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Haji Baki, Kuching bermula 28 Oktober 2020 sehingga 10 November 2020,” katanya semasa sidang media hari ini.
Dengan pelaksanaan PKPD, semua penduduk di kampung berkenaan tidak dibenarkan keluar dan bekalan makanan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Bahagian terlibat.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengumumkan pelanjutan PKPD di Penjara Reman dan Kuarters Reman Pulau Pinang berkuatkuasa 29 Oktober sehingga 11 November ini.
PKPD Penjara Reman dan Kuarters Reman Pulau Pinang telah dilaksanakan sejak 15 Oktober lalu dan sepatutnya tamat esok.
“Sehingga 26 Oktober 2020, sebanyak 4,196 sampel telah diambil dan sehingga kini masih terdapat kes positif dikesan dalam kalangan tahanan serta kakitangan penjara.
“Sehubungan dengan itu atas cadangan MKN Pulau Pinang dan nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di Penjara,” katanya. – MalaysiaGazette