KUALA LUMPUR – Dua anak kapal disahkan meninggal dunia manakala 185 yang lain berjaya diselamatkan dalam insiden kapal penyelenggara, Dayang Topaz yang karam di perairan Miri pagi ini.
Pemangku Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Komander Maritim Dr. Suzanna Razali Chan berkata, kedua-dua mangsa merupakan warganegara Malaysia dan mangsa telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan maklumat terkini dari MRCC Putrajaya. Pesawat AW 189 PETRONAS selamat mendarat di Lapangan Terbang Miri pada jam 5:40 petang dengan membawa dua mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam kejadian jam 6 pagi itu, Dayang Topaz karam berikutan cuaca buruk menyebabkan salah satu sauhnya terputus sehingga hilang kawalan dan melanggar sebuah pelantar minyak yang berada berhampiran.
Ketika kejadian, seramai 187 kru berada di atas kapal dan apabila kapal itu mulai karam, 125 kru bertindak terjun ke laut untuk menyelamatkan diri, manakala 62 lagi terus berada di dalam kapal.
Kesemua mereka diselamatkan tiga jam kemudian selepas Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya menerima maklumat kejadian itu daripada pengendali kapal Sapura Construction, pada jam 6.45 pagi, sebaik menerima isyarat kecemasan dari Dayang Topaz.
Sementara itu, Dr Suzanna berkata, seramai 173 individu daripada 185 mangsa yang selamat telah tiba di jeti Pelabuhan Miri manakala 12 kru Dayang Topaz kekal berada di atas kapal tersebut bagi memastikan keselamatan kapal.
Tambah beliau, semua mangsa akan menjalani saringan Covid-19 dan ditempatkan sementara di sebuah fasiliti penginapan bagi tujuan kuarantin.
Jelas beliau, Operasi Carilamat yang membabitkan 300 individu terdiri daripada sebuah bot dan dua kapal daripada Maritim Malaysia, 13 buah kapal Petronas dan Shell dan empat buah pesawat udara daripada Petronas, Tentera Udara DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Brunei Shell Petroleum akan ditamatkan setelah semua mangsa dikenal pasti dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette