
SHAH ALAM – Selepas berhadapan 17 pertuduhan semalam, dua pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini didakwa lagi.
Dua tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini ialah Kolonel Che Ahmad Idris dan Brig Jen Mohammed Feizol Anuar Ayob.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Che Ahmad secara rasuah menerima suapan wang tunai GBP 4,500 bersamaan RM25,000 daripada Pengarah Urusan syarikat FEHM Entity Sdn Bhd Elias Jemadi Tajudin sebagai upah mencadangkan pelantikan syarikat tersebut secara Rundingan Terus (RT) bagi Perkhidmatan Sengaraan dan Khidmat Sokongan Sistem Peperangan Elektronik Strategik (PRISMA) untuk Bahagian Stag Perisikan Pertahanan.
Kesalahan itu dilakukannya pada 22 November 2019 di Kompleks Induk Stride, Taman Bukit Mewah Fasa 9, Kajang selaku Ketua Cawangan Peperangan Siber Strategik, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan, Kementerian Pertahanan pada waktu itu.
Tertuduh kedua pula iaitu Mohammed Feizol berhadapan dengan dua pertuduhan.
Beliau dituduh menerima suapan sebanyak RM150,000 juga daripada Elias sebagai dorongan untuknya pada waktu itu sebagai Penasihat Ketenteraan, Kementerian Pertahanan untuk membantu menyerahkan Surat Niat supaya FEHM menjadi rakan strategik dan kontraktor senggeraan bagi peralatan perisikan sistem PRISMA Direktorat Peperangan Informasi (DPI).
Beliau turut didakwa menerima RM150,000 pada September 2019 daripada orang yang sama juga untuk tujuan yang sama.
Tiga pertuduhan yang dihadapi oleh dua pegawai kanan ATM itu adalah di bawah Seksyen 16(a) (B)Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2019 (Akta 694), boleh dihukum penjara 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan.
Hakim Hakim Tuan Yang Zaimey Yang Ghazali kemudian menetapkan ikat jamin RM15,000 kepada Che Ahmad.
Mohammed Feizol pula perlu membayar RM10,000 ikat jamin bagi semua tuduhan dihadapinya.
Sebutan kes kedua-duanya ditetapkan pada 30 November 2020. – MalaysiaGazette