Home Nasional Empat potensi pencemaran sungai berjaya dihalang – Amirudin

Empat potensi pencemaran sungai berjaya dihalang – Amirudin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mencuba basikal elektrik pada Majlis Penyerahan PPE, Jet Ski dan Basikal Elektrik kepada Jabatan Penjara Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor. foto AFIQ HAMBALI, 28 OKTOBER 2020

SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor berjaya menghalang pencemaran Sungai Selangor berulang sekali lagi apabila dapat mengesan empat kawasan yang berpotensi boleh menjejaskan sumber air mentah sejak lima hari lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tindakan pantas itu hasil daripada langkah pihaknya melantik pegawai-pegawai Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pakar Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

“Dalam tempoh lima enam hari sahaja, kita telah mengesan empat potensi pencemaran yang berjaya dihalang sebelum mengalir ke kawasan sungai utama, paling terbaru semalam.

“Semalam kita kenal pasti ada tumpahan minyak hitam dan pegawai SPAN, Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) danLUAS telah meronda seluruh sungai dan kita dapati tidak ada kilang atau bengkel-bengkel bersekitaran.

“Tiga hari lepas ada kita dapat kesan di Sungai Kundang benda yang paling sama, tumpahan atau pencemaran berwarna hitam kita percayai minyak,” katanya pada sidang media di lobi bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin juga tidak menolak kemungkinan beberapa cubaan untuk mencemarkan Sungai Selangor dipercayai daripada tindakan yang disengajakan.

“Saya bimbang ia adalah tindakan-tindakan disengajakan namun saya tiada bukti bila nak kata begitu.

“Cuma Alhamdulillah dalam tempoh tiga empat hari ini sebenarnya kita telah berjaya menghalang potensi cubaan untuk mencemarkan sungai dengan menggunakan tenaga sumber manusia sedia ada,” katanya.

Katanya lagi, bermula 1 November ini dengan pelaksanaan dron, pihaknya boleh meneroka lebih banyak kawasan di di sepanjang Sungai Selangor memantau aktiviti jenayah alam sekitar.

“Saya seru kepada semua pihak atau mereka yang tidak bertangungjawab atau cuai tolonglah (jangan buat pencemaran).

“Ini kerana ia melibatkan ratusan ribu akaun dan jutaan penduduk di Lembah Klang yang terpaksa menderita disebabkan oleh gangguan bekalan air,” katanya lagi. – MalaysiaGazette