Home Nasional Jika saya dapat keluar tentu saya sudah panjat pokok kelapa ini untuk...

Jika saya dapat keluar tentu saya sudah panjat pokok kelapa ini untuk kamu – Shanmugam

Anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakukan kawalan sekitar kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sungai Emas, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

KUALA LANGAT – Seorang penghuni Flat Sungai Emas sempat meminta kumpulan wartawan dan jurugambar yang membuat liputan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan itu pada tengahari tadi memetik buah-buahan yang terdapat di sekeliling untuk dimakan dan dibawa pulang.

Antara buah-buahan itu termasuklah ciku, jambu air dan kelapa.

Shanmugam Sellaih yang sedang menunggu pihak berwajib menghulurkan bekalan makanan berkata, beliau faham dengan keadaan panas terik dan masa kerja yang panjang di lokasi PKPD pastinya tidak ada makanan untuk petugas media.

Temubual bersama penduduk, Shanmugam Sellaih di Flat Sungai Emas, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

“Kami sendiri sejak pagi masih tunggu lagi jika dapat bekalan makanan. Belum dapat lagi, hendak keluar beli sememangnya sudah disekat pergerakan kami. Memang lapar dan lebih sukar kerana kami makan sayur-sayuran.

“Tertunggu juga jika ada bekalan makanan atau barangan masakan untuk kami masak tapi belum ada lagi, sudah masuk tengahari.

“Saya kasihan juga tengok kamu semua (media) yang ada sejak pagi buat liputan, hendak ke kedai jauhnya sehingga 1 kilometer, dengan panas terik lagi usah cakaplah. Itu yang saya minta semua petik sahaja buah-buah ini.

“Jika saya dapat keluar tentu saya sudah panjat pokok kelapa ini untuk kamu semua, memang panas cuaca ketika ini.

“Kami pun tidak boleh petik kerana adanya kawad besi sebagai penghalang, memanglah kami juga tidak dapat merasai buah-buah itu. Saya minta anggota keselamatan yang bertugas siang malam ini juga petik apa yang mereka mahu.

“Kita bantu kita, itu sahaja dapat kami penduduk setempat hulur. Dengan SOP yang ada di PKPD, banyak juga sekatan tapi memang kita semua kena ikut,” katanya di sebalik kawad besi.

Penduduk dilihat mengambil stok makanan dari orang luar susulan kediaman mereka yang dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sungai Emas, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

Menceritakan detik-detik PKPD dilaksanakan sejak tengah malam tadi, Shanmugam yang merupakan seorang juruteknik mengakui ia merupakan pengalaman baharu.

Shanmugam dan isterinya mengakui sudah mula mendapat mesej dalam laman Whatsapp penduduk setempat bahawa kawasan itu akan menjadi sasaran PKPD dalam masa terdekat berikutan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk blok itu.

Reaksi penduduk, Shanmugam Sellaih selepas kawasan kediamannya dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sungai Emas, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

Malah kata Shanmugam, beliau  tidak menyangka mesej itu akhirnya menjadi lenyataan apabila Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendedahkan terdapat 41 kes positif Covid-19 selepas ujian saringan dilakukan lewat petang semalam.

“Memang kelam kabut, tidak sempat beli barangan penting. Kami juga tidak diberikan makluman ataupun apa-apa arahan mahupun garis panduan. Semua kelam kabut.

“Pada jam 10 malam kita tengok sudah ada anggota polis dan tentera serta trak besar-besar masuk ke kawasan ini, sekejap sahaja sudah kawad besi. Ada sekatan keluar masuk.

“Saya sekeluarga sudah buat ujian saringan dan keputusan juga negatif tapi kami juga tersekat dalam tempat PKPD ini, kereta saya langsung tidak boleh keluar masuk, hendak beli barang terutamanya keperluan asas sudah tidak boleh.

“Saya mohon pihak berwajib tolonglah kami, saya agak kasihan juga ada keluarga serta penduduk yang tidak mempunyai wang secukupnya untuk beli dan simpan stok seminggu dua. Ada yang gaji belum masuk tapi sudah kena PKPD.

“Ada yang hidup dengan gaji harian, bayangkan kesusahan mereka tidak dapat keluar bekerja. Mohon kerajaan untuk pertimbangkan semua ini.

“Kami cukup gembira dengan semua langkah-langkah bendung Covid-19 ini, tidak bantah malah akan ikut semuanya kerana akhirnya keselamatan serta nwaya itu penting sekali tapi bantu kami juga,” ujarnya.

Penduduk dilihat melakukan rutin harian sekitar kawasan kediaman mereka yang dipasang kawat besi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Flat Sungai Emas, Kuala Langat, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 OKTOBER 2020.

PKPD telah mula dilaksanakan sejak malam tadi di kawasan pangsapuri Sungai Emas yang mempunyai tujuh buah blok dengan penduduk seramai 1,300 orang.

MalaysiaGazette juga difahamkan ramai dalam kalangan penduduk pangsapuri ini berasal dari Sabah dan bekerja di kawasan sekitar.

Perlaksanaan PKPD di kawasan ini akan berakhir 10 November ini. -MalaysiaGazette