Home Utama Saya pun terkesan dengan tekanan kesihatan – Dr Noor Hisham

Saya pun terkesan dengan tekanan kesihatan – Dr Noor Hisham

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hadir pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 27 OKTOBER 2020.

PUTRAJAYA – Memasuki sepuluh bulan berperang dengan pandemik Covid-19, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, beliau juga pernah mengalami tekanan kesihatan.

Pada sidang media harian di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, beliau juga dihimpit dengan tekanan sehingga menyukarkannya untuk tidur pada waktu malam.

“Memang (ada tekanan mental) kalau kita lihat dalam tempoh kelesuan mental dan fizikal bukan hanya mereka di lapangan, di Kementerian Kesihatan pun ada kelesuan dari segi mental dan fizikal.

“Ini adalah kerana kita telah berperang tanpa berhenti untuk tempoh 10 bulan, tidak ada cuti dan setiap hari kita ada mesyuarat, juga ada tindakan setiap lapisan warga kerja KKM menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan mungkin ada yang terkesan iaitu tekanan yang tinggi dan sebagainya termasuk Ketua Pengarah Kesihatan juga tekanan yang amat tinggi.

“Kadang-kadang malam pun tidak boleh tidur sebab pelbagai aktiviti yang kita kena fikirkan bagaimana kita boleh menyelesaikan masalah ini,” katanya dalam sidang media harian di KKM, hari ini.

Dr Noor Hisham menjawab pertanyaan media mengenai dakwaan doktor yang bertugas di Sabah terpaksa mengambil ubat tidur kerana kerja yang berlebih dalam berdepan dengan pandemik Covid-19 selain menghadapi tekaan mental setelah terlalu lama berdepan dengan virus membawa maut itu.

Tambah Dr Noor Hisham, beliau optimis petugas-petugas KKM masih lagi bersemangat tinggi untuk memastikan kes positif Covid-19 menurun.

“Mungkin cara kerja kita kena pandai untuk menjalankan penggiliran dan memberi masa untuk petugas kesihatan untuk rehat.

“Ini penting walaupun kita beri masa untuk rehat kadang-kadang tidak boleh rehat tengah malam bangun pukul 3 pukul 4 pagi masih memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham mengesahkan sejumlah 949 pegawai kesihatan di bawah KKM didapati positif Covid-19.

“Apabila mereka terdedah dengan kes positif Covid-19, kita kena kuarantin mereka untuk tempoh tertentu dan inilah tindakan untuk memastikan keselamatan mereka dijaga,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Terima kasih pertugas-pertugas barisan hadapan Covid 19, harap belanjawan untuk mereka termasuk dalam belanjawan negara.

Comments are closed.