MELAKA – Kerajaan Melaka menutup sementara Pulau Besar daripada sebarang aktiviti dan kunjungan orang awam bermula Rabu (28 Okt) sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak, bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dan mencegah wujudnya kluster baharu.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, arahan itu selari dengan keputusan mesyuarat majlis keselamatan negeri baru-baru ini yang melarang sama sekali sebarang perjumpaan berskala besar melebihi 50 orang dalam satu-satu masa.
“Sebelum ini kita sudah buat pembersihan bersepadu di Pulau Besar dan dalam tempoh kita menyambut Maulidur Rasul, kita tidak mahu ada kluster baharu sekiranya terdapat mana-mana kehadiran pengunjung dari negeri Zon Merah.
Sementara itu Sulaiman berkata, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat mendepani pelbagai isu COVID-19 dalam pembentangan Belanjawan 2021 negeri Melaka nanti.
“Sudah tentu rakyat mahukan yang terbaik kerana banyak negeri dan negara lain yang terkesan disebabkan COVID-19, namun kerajaan negeri yang ada pada masa ini akan memastikan keperluan dan kebajikan rakyat akan diberi perhatian,” katanya. – MalaysiaGazette