Home Utama Beli mahal, jual murah pengusaha stesen minyak ‘sukar bernafas’

Beli mahal, jual murah pengusaha stesen minyak ‘sukar bernafas’

KUALA LUMPUR – Masalah pusingan modal yang dihadapi oleh pengusaha-pengusaha stesen minyak tempatan kian kritikal berikutan trend penyusutan harga minyak mentah.

Senario itu berlaku apabila penurunan harga minyak berlaku hampir setiap minggu sejak kebelakangan ini.

Lantaran itu, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) menaruh harapan agar kerajaan dapat menyelesaikan beberapa isu utama supaya para peserta dapat ‘bernafas’ dan meneruskan kelangsungan perniagaan.

Selain pusingan modal, perkara-perkara lain termasuk isu komisien dan tempahan minyak

Presidennya, Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz mahu supaya modal pusingan yang ditetapkan oleh kerajaan sejak tahun 2008 disemak semula.

Menurut beliau, modal pusingan yang diperuntukan antara RM300,000 hingga RM700,00 dianggap menekan pengusaha-pengusaha minyak dalam keadaan semasa.

“Harga minyak turun tidak ada masalah bagi kami. Baguslah sebab pengguna mempunyai pendapatan boleh guna yang banyak dan digunakan untuk melancong. Selain itu, pengguna kad kredit juga membayar caj yang lebih murah.

“Tetapi bagi pihak kami penetapan harga minyak secara mingguan ini membebankan. Kita mengeluarkan modal yang tinggi untuk stok lima atau lapan hari tetapi apabila harga (minyak) jatuh pada minggu berikutnya menyebabkan kami rugi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Selain itu, PDAM juga mahu pengusaha-pengusaha stesen minyak diberi kebebasan untuk membuat tempahan bekalan minyak.

Pada masa sekarang, tempahan bekalan bahan api itu ditentukan oleh syarikat-syarikat minyak.

“Jika kami yang tetapkan, sudah tentu kita tahu berapa banyak kapasiti yang dapat dijual dalam tempoh tertentu. Ini penting kerana penjualan bergantung kepada lokasi dan sebagainya.

“Jadi kami tidak perlu beli stok yang ditetapkan syarikat minyak pada harga mahal dan jual pada harga murah. Kalau situasi ini berterusan memang ‘habislah’,” tambah beliau.

Beliau mendakwa disebabkan masalah-masalah itu hampir 50 stesen minyak ditutup.

“Walaupun ada peniaga lain ambil alih perniagaan yang ditutup, ia soal lain. Isunya peniaga asal yang bertungkus-lumus membangunkan perniagaannya tidak dapat kekal disebabkan isu-isu berbangkit,” ujar Khairul.

Mengulas mengenai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan menggunakan mekanisme baharu dalam penetapan harga minyak, beliau berkata, PDAM menyambut baik usaha itu.

“Apa pun cadangan yang bakal dibincang dan diputuskan, ia diharap memberi situasi menang-menang kepada pelanggan dan pengusaha stesen minyak,” tambahnya. – MalaysiaGazette