Home Nasional PH mahu Muhyiddin runding Belanjawan 2021 dengan pembangkang

PH mahu Muhyiddin runding Belanjawan 2021 dengan pembangkang

Anwar Ibrahim

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digesa mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pembangkang berkenaan isi kandungan Belanjawan 2021 sebelum dibentangkan di Parlimen pada 6 November ini.

Langkah itu adalah supaya objektif yang diinginkan oleh Yang di-Pertuan Agong
terutama dalam aspek mengangani wabak Covid-19 dapat dicapai, demikian menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan hari ini.

“Majlis Presiden PH yakin semua Ahli Parlimen akan terlibat dalam sesi perbahasan yang sihat untuk memastikan Belanjawan 2021 mengutamakan kepentingan negara dan rakyat, serta menepati aspirasi seperti yang telah dititahkan oleh Agong,” demikian menurut kenyataan yang dibacakan oleh Ketua Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil di sini hari ini.

Menurut kenyataan bersama itu, Belanjawan 2021 perlu memberi fokus kepada keperluan petugas barisan hadapan yang menjadi benteng rakyat Malaysia daripada penularan wabak Covid-19.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil bercakap kepada media selepas hadir ke Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan ketika di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya. foto MOHD ADZLAN, 29 OKTOBER 2020.

Ia juga perlu menetapkan halatuju yang mampu memastikan Malaysia akan terus maju sewaktu dan selepas pandemik tersebut.

Malah, ia termasuk mengenalpasti strategi-strategi pembangunan baharu untuk ekonomi serta membantu rakyat Malaysia yang terkesan sama ada akibat kehilangan pekerjaan mahupun pendapatan pada tahun 2020 ini.

Kata kenyataan itu lagi, berjuta-juta rakyat Malaysia yang berada pada atau di bawah paras kemiskinan amat mengharapkan bantuan dapat disalurkan melalui belanjawan tersebut.

“Golongan yang tidak harus ketinggalan juga adalah yang mengharapkan moratorium pinjaman dilanjutkan.

“Atas sebab-sebab ini Majlis Presiden Pakatan Harapan amat bersetuju dengan Seri Paduka Baginda bahawa amatlah penting dan serius untuk Belanjawan
2021 ini dirundingkan dengan Pembangkang sebelum dibentang di Parlimen,” ujarnya.

Terdahulu, Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyaurat Majlis Presiden PH di Ibu Pejabat PKR di Tropicana di sini.

Mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua setengah jam itu dihadiri Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Veteran DAP, Lim Kit Siang, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad; Setiusaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Abdullah dan Timbalan Presiden PH, Mohamad Sabu.

kenyataan bersama itu ditandatangani oleh Anwar, Mohamad dan Guan Eng – MalaysiaGazette