Home Nasional PKRC kedua di Labuan dibuka

PKRC kedua di Labuan dibuka

Majikan perlu menyediakan pusat kuarantin untuk mengasingkan pekerja asing mereka yang disahkan positif Covid-19. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Susulan peningkatan kes Covid-19 di Labuan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan telah membuka Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) kedua yang akan beroperasi sepenuhnya esok.

PKRC yang terletak di Dewan Perbadanan Labuan itu mempunyai kapasiti 140 katil sekali gus menjadikan jumlah keupayaan katil di PKRC Labuan adalah sebanyak 317.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi rawatan Covid-19 di Hospital Labuan pula, terdapat 122 katil yang mana 20 unit dikhususkan untuk pesakit kategori 4 dan 5 (High Dependency Unit) dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

Baki sebanyak 102 katil lagi termasuk lima katil ICU akan terus digunakan untuk rawatan bukan Covid-19.

Ini sekaligus menjadikan kapasiti terkini katil untuk pesakit Covid-19 di Labuan meningkat kepada 337 katil, di mana jumlah katil di PKRC adalah 317 katil manakala katil untuk rawatan pesakit COVID-19 di Hospital Labuan adalah 20 katil.

“Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan, dan agensi lain di WP Labuan termasuk Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan The Whole of Government and Whole of Society Approach,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu ini akan mengunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang telah dihantar untuk bantuan di JKWP Labuan.

Pasukan itu akan terus di pertingkatkan dari masa ke semasa untuk memastikan program Kawalan COVID-19 di WP Labuan berjalan lancar seperti yang telah dirancang.- MalaysiaGazette