Home Utama Buang nostalgia demi masa depan Proton

Buang nostalgia demi masa depan Proton

Proton

KUALA LUMPUR – “Cukup-cukuplah mengkritik kerjasama Proton-Geely,” jelas Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, piihan untuk syarikat automotif  itu sangat jelas iaitu sama ada membiarkan Proton Holdings Berhad (Proton) menyusun semula perniagaannya atau tutup mata membiarkan ia berhadapan dengan masalah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menegaskan, apa yang penting adalah masa depan 350 vendor serta 60,000 orang pengurusan dan kakitangan Proton yang perlu diutamakan melebihi dan mengatasi perasaan bangga, selain nostalgia.

Menurut Mustapa, logik dan akal mesti mempunyai kekuatan untuk melawan emosi jika kita mahu melihat Proton berjaya dalam global yang pesat mengalami perubahan.

“Proton akan mempunyai rakan kongsi strategik asing untuk bergerak ke hadapan tetapi Malaysia masih mengekalkan kawalan majoriti.

“Proton dikenali di peringkat global sebagai jenama Malaysia dan tiada apa yang boleh mengubah keadaan itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pelbagai kritikan yang dilemparkan berhubung kerjasama sama Proton dan Geely.

Mustapa turut menyifatkan dakwaan kerajaan tidak menunaikan janji untuk menyalurkan dana kepada Proton adalah tidak berasas.

Katanya, daripada jumlah pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion, kerajaan telah mengagihkan RM1.25 bilion kepada Proton yang sebahagian besarnya digunakan untuk menyelesaikan bayaran tertunggak untuk vendornya.

“Baki RM250 juta akan dibayar dalam kira-kira seminggu. Secara berasingan, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan II, kerajaan akan membayar balik geran penyelidikan Proton bernilai RM1.1 bilion apabila perjanjian dengan Geely dimuktamadkan pada Julai 2017.

“Walaupun bantuan ini tidak pernah berlaku dalam ekonomi pasaran terbuka, ia adalah satu langkah yang bertanggungjawab oleh kerajaan dalam memastikan masa depan yang lebih baik untuk Proton.

“Walau bagaimanapun, kerajaan tidak boleh terus membantu daripada Proton setiap kali ia menghadapi masalah kewangan. Atas sebab ini, RM1.5 bilion pinjaman mudah telah dibuat tertakluk kepada Proton mendapatkan rakan strategik asing,” ujar beliau.

Mustapa menambah, hari ini, saiz pasaran automotif Malaysia adalah kira-kira 600,000 unit setahun dan bagi mana-mana syarikat untuk berjaya, dalam memenuhi skala ekonomi.

Katanya, Proton telah mengemukakan beberapa pelan promosi eksport dalam tempoh lima tahun yang lalu, malangnya tiada satu pun menjadi kenyataan.

Mustapa sekali lagi mengulangi bahawa kerjasama dengan Geely adalah keputusan komersial yang dibuat demi kepentingan Proton, vendor dan kakitangannya.

Ia dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk faedah-faedah yang akan diperolehi daripada teknologi Geely, kemudahan pembangunan dan penyelidikan serta suntikan tunai.

“Ia adalah amat malang niat dan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan mahu melihat Proton telah dilabel oleh Tun Mahathir sebagai tindakan membalas dendam.

“Kerajaan akan dan sentiasa melindungi kepentingan negara dan tidak akan membuat keputusan berdasarkan dendam peribadi,” ujar Mustapa. – MalaysiaGazette