KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, TNB Energy Services Sdn Bhd (TNBES) telah memeterai perjanjian Smart Energy Efficiency (SEE) dengan Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP), Kuala Terengganu yang membolehkan INSTEP menjimatkan penggunaan kira-kira 407,880 kWh elektrik setiap tahun.
Dengan jumlah anggaran penjimatan elektrik tahunan itu, kerjasama bernilai RM2.45 juta ini berupaya mengurangkan pelepasan karbon dioksida kira-kira 288 tan metrik setiap tahun,
bersamaan dengan jumlah karbon dioksida yang mampu diserap oleh 4,769 anak pokok untuk tempoh 10 tahun.
Menerusi perjanjian selama 10 tahun yang tamat pada tahun 2030 itu, TNBES akan merangka dan melaksanakan strategi perbelanjaan operasi terbaik bagi INSTEP, khususnya dari segi
kecekapan tenaga (EE) tanpa perbelanjaan modal.
Pertukaran perjanjian secara maya antara Pengarah Urusan TNBES, Dr. Ir. Ahmad Jaafar Abd Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berlangsung baru-baru ini.
“Perjanjian ini dilihat sebagai satu lagi kolaborasi penting antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam usaha memantapkan lagi kecekapan tenaga dan tenaga hijau,” kata Ahmad Jaafar.
“TNBES akan membekalkan penyelesaian gaya hidup cekap tenaga yang inovatif dan bermanfaat kepada INSTEP.
”Kami percaya kerjasama ini akan mempercepatkan pertumbuhan
tenaga hijau di Malaysia,” tambah beliau.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim menjelaskan inisiatif ini adalah sejajar dengan komitmen mereka terhadap Agenda Kelestarian Pembangunan Petronas dalam melindungi
alam sekitar, serta memberi nilai dan manfaat positif kepada masyarakat.
“Selain mengoptimumkan kecekapan tenaga, INSTEP juga telah menceburi bidang pengkomposan makanan, yang mencerminkan idea ‘daripada sisa makanan kepada sumber’ dan dijangka untuk mengkompos kira-kira 36.5 tan sisa makanan setiap tahun bagi
menyumbang kepada pengurangan gas rumah hijau, bersamaan dengan jumlah yang boleh serap oleh 466 batang pokok dalam setiap tahun,” kata Idris.
Kecekapan tenaga TNBES dengan memasang lampu diod pemancar cahaya (LED) dan lampu tiang tinggi di Kawasan Bukan Proses seperti bangunan pengurusan, pejabat dan lampu jalan di pusat latihan mereka.
Perjanjian ini juga adalah satu usaha untuk mengukuhkan, mempromosikan dan membangunkan kolaborasi antara syarikat-syarikat di Malaysia dalam usaha untuk mencapai pematuhan terhadap Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara.
Sebagai rekod, perkhidmatan kecekapan tenaga (EE) yang ditawarkan TNBES kepada INSTEP adalah yang pertama bagi sektor minyak dan gas Malaysia.
Projek EE TNBES sebelum ini melibatkan pelanggan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Celcom, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan juga lebih daripada 100 Audit
Tenaga untuk pelanggan pelbagai kategori dan pada berbagai jenis bangunan dan premis, yang menjadi sebahagian daripada inisiatif kecekapan tenaga. – MalaysiaGazette