Home Sukan Piala Malaysia: Saingan lebih terbuka

Piala Malaysia: Saingan lebih terbuka

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Format terbaharu kejohanan TM Piala Malaysia 2020 bakal menyaksikan saingan terbuka buat semua pasukan untuk muncul juara dan kejutan dijangka mampu berlaku membabitkan pasukan pilihan.

Rata-rata pengendali pasukan tidak mahu rekod lalu dijadikan ukuran kerana pentas saingan TM Piala Malaysia kali ini yang menggunakan format kalah mati pasti menjadi satu medan saingan yang sangat berbeza jika hendak dibandingkan dengan CIMB Liga Super.

Ketua jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, yang pernah membawa skuad Lang Merah ke pentas final pada musim lalu, mengakui tekanan sebenarnya akan berpihak kepada pasukan pilihan namun beliau percaya pemain-pemainnya mampu beraksi di tahap sebenar pada setiap perlawanan.

“Untuk saya, tidak kira siapa lawan sekalipun, saya hanya ingin tekankan prestasi pasukan saya sahaja untuk mereka buat yang terbaik walaupun lawan mereka adalah pasukan hebat sekalipun.

“Apa yang penting, pemain saya kena beri 100 peratus aksi terbaik dan tidak boleh terlalu fikirkan siapakah lawan yang bakal dihadapi nanti.

“Apatah lagi peringkat kalah mati ini, saya percaya pasukan yang bukan menjadi pilihan dan yang berada lebih bawah daripada kami dalam liga akan menjadi lawan yang merbahaya kerana pastinya tekanan lebih kurang berbanding kami,” jelasnya.

Undian TM Piala Malaysia akan berlangsung esok yang akan disiarkan secara langsung di Youtube unifi dan Facebook Live MFL pukul 11 pagi manakala aksi pusingan pertama pada 6,7 dan 8 November ini

Enam pasukan teratas CIMB Liga Super dan dua pasukan terbaik Liga Premier (tidak termasuk Reserve Team) bakal diletakkan dalam balang A akan bertemu pasukan yang ditempatkan dalam balang B yang terdiri daripada pasukan tangga ketujuh hingga 11 CIMB Liga Super dan 3 hingga 5 Liga Premier (tidak termasuk Reserve Team).

Namun, Sabah tidak dapat bertanding pada kali ini ekoran tidak mendapat kebenaran keluar daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pasukan yang diundi berdepan Sabah, akan layak ke peringkat seterusnya secara automatik.

Ketua Jurulatih pasukan Pahang, Dollah Salleh menunjukkan trofi selepas merangkul Jurulatih Terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2019 (ABK19) di Hotel Tenera, Bangi, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 15 NOVEMBER 2019

Dalam pada itu, ketua jurulatih Pahang, Dollah Salleh, tidak kisah akan bertemu sesiapa sahaja di pusingan pertama selepas skuadnya kini berada di tahap terbaik apabila semakin ramai pemain utama sudah pulih daripada kecederaan.

“Saya tidak bimbang dengan kedudukan kami yang diletakkan dalam balang B dan mungkin terpaksa bertemu dengan beberapa pasukan pilihan di pusingan awal.

“ Tempoh rehat sedia ada ini nyata dapat dimanfaatkan sepenuhnya apabila hampir semua pemain utama Pahang berada di tahap kecergasan terbaik dan ini satu perkembangan yang melegakan.

“Sesiapa sahaja kami bakal berjumpa, saya tidak kisah kerana Pahang jika pada hari terbaik, kami boleh beri saingan kepada semua pasukan, “ katanya.

Pengendali UiTM FC, Frank Bernhardt

Manakala ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernahrdt, juga tidak merasakan berada dalam balang A akan berikan kelebihan besar buat pasukannya kerana menyifatkan masih ada beberapa pasukan yang baik ditempatkan dalam kelompok balang B.

“Daripada segi pencapaian liga, saya rasa selaku pasukan yang baharu dinaikkan dari Liga Premier, saya berpuas hati dengan keupayaan meraih tempat keenam pada musim ini.

“ Cuma untuk saingan TM Piala Malaysia, saya tidak fikir apa-apa mengenai laluan yang dikatakan sedikit mudah kerana masih ada pasukan seperti PJ City, Pahang dan Melaka yang mungkin kami boleh bertemu di pusingan awal, ” katanya.

Sementara itu, Bernhardt bersimpati dengan pasukan Sabah yang sepatutnya ditemui mereka pada Sabtu ini pada aksi terakhir CIMB Liga Super tetapi ekoran arahan MKN berdasarkan peningkatan kes Covid-19 di sana, maka Sabah tidak lagi berpeluang bermain pada musim ini.

“Satu perkara yang menyedihkan selepas persiapan sekian lama dilakukan oleh mereka dan juga kami namun akhirnya atas situasi yang tidak dijangka, mereka tidak dibenarkan keluar termasuk untuk TM Piala Malaysia.

“ Mungkin ini keputusan terbaik yang dibuat kerajaan ekoran situasi di sana dan saya harapkan Sabah mampu bangkit daripada situasi ini serta selamat maju jaya untuk saingan musim depan, ” katanya. – MalaysiaGazette