KUALA LUMPUR – Tidak adil mengatakan penjawat awam tidak layak menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) hanya disebabkan golongan berkenaan menerima gaji seperti biasa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat berkata, sama ada pekerja swasta atau kakitangan kerajaan, penentuan penerima BPN ditentukan berdasarkan pendapatan isi rumah.
“Dalam hal ini kerajaan telah menetapkan pemberian BPN kepada isi rumah yang berada pada kelas B40 dan M40 selain individu yang tergolong dalam senarai B40 dan M40. Penetapan kelas B40 dan M40 ini tidak mengambil kira sama ada mereka bekerja di sektor kerajaan atau sektor swasta.
“Jika isi rumah itu berpendapatan RM4,000 ke bawah, tidak kira mereka di sektor swasta atau kerajaan akan layak menerima BPN kerana dikategorikan sebagai B40. Begitu juga jika individu itu menerima pendapatan RM2,000 ke bawah, mereka layak untuk menerima BPN kerana dikategorikan sebagai B40 tidak kira bekerja di sektor Kerajaan atau swasta.
“Tidak semua penjawat awam yang menerima BPN. Jika pendapatan isi rumah mereka lebih daripada yang ditetapkan, maka ia tetap tidak layak walaupun bergelar penjawat awam. Begitu juga di sektor swasta, jika pendapatan isi rumah lebih daripada syarat ditetapkan mereka juga tidak layak untuk menerima BPN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan pengasas juga Perunding Utama Hijrah Wealth Management Sdn Bhd, Rohani Mohd Shahir menerusi program Sinar Live bertajuk ‘Dari T20 Kepada M20’ pada Jumaat yang mencetuskan kontroversi.
Rohani dilaporkan berkata, penjawat awam tidak sepatutnya menerima BPN kerana ia sepatutnya hanya diterima golongan yang benar-benar terjejas akibat penularan Covid-19 khususnya yang dipotong gaji dan diberhentikan kerja.
Justeru Adnan yang menyelar kenyataan Rohani turut menyifatkan perunding kewangan tersebut sebagai berfikiran sempit kerana hanya menyentuh konteks kecil berbanding isu keseluruhan iaitu pendapatan isi rumah rakyat Malaysia.
“CUEPACS percaya keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah adil dan memikirkan keseluruhan rakyat yang terkesan oleh Covid-19. Dalam tempoh yang sukar ini marilah kita sama-sama berdoa dan berusaha agar pandemik ini berakhir dengan segera. Sebagai rakyat, marilah kita terus bersatu,” ujar beliau.
Tambah Adnan, perkara paling logik perlu diingat adalah tidak semua pasangan penjawat awam bekerja di sektor yang sama juga.
Malah menurutnya kakitangan dari sektor berkenaan juga mempunyai komitmen yang sama dengan pekerja sektor swasta.
“Ada dalam kalangan pasangan merupakan suri rumah sepenuh masa, bekerja sendiri seperti penjaja kecil serta bekerja di sektor swasta yang mungkin turut terjejas pendapatan mereka.
“Penjawat awam yang mempunyai pinjaman perumahan dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam juga tetap perlu membayar pinjaman seperti biasa walaupun ada dalam kalangan pasangan mereka telah dibuang kerja, tidak dapat berniaga atau terjejas pendapatan,” katanya lagi.-MalaysiaGazette