Home Utama Negara dalam kecemasan, buat keputusan seperti dalam peperangan – Pakar Ekonomi

Negara dalam kecemasan, buat keputusan seperti dalam peperangan – Pakar Ekonomi

Ramon Navaratnam

KUALA LUMPUR – Malaysia kini dalam situasi kecemasan kerana dalam ‘peperangan’, oleh itu tidak wujud istilah sukar dalam membuat keputusan dalam pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kehidupan rakyat sama ada golongan B40 atau M40, di bandar atau luar bandar semakin terhimpit dek kehilangan pekerjaan dan penurunan dalam aktiviti ekonomi dan ia adalah realiti sebenar.

Oleh itu, kerajaan dan KWSP perlu menangani cadangan tersebut seperti situasi ‘kecemasan’ dan ‘segera’.

Tokoh ekonomi negara, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, pandangan itu berdasarkan situasi semasa yang mendesak dan sememangnya rakyat memerlukan wang untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Malaysia kini sedang berdepan dengan perang Covid-19. Dalam peperangan ini ekonomi negara mengalami kesan mendalam sehingga ada syarikat terpaksa ditutup, ada firma yang terpaksa mengurangkan pekerja. Dan tempiasnya kepada rakyat.

“Itu adalah hakikat dan kita sendiri menyaksikan sektor-sektor ekonomi tertentu terduduk dan belum boleh bangun lagi, seperti sektor pelancongan, perhotelan dan sebagainya.

“Apabila ia membabitkan pekerja, bermakna ada rakyat yang sedang menderita, justeru kerajaan dan KWSP perlu melihat isu ini dengan mata hati yang mendalam,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sebagai orang lama, Ramon mengakui, situasi sekarang adalah sama getir yang pernah disaksikannya berbanding ketika Malaysia dalam darurat dahulu.

Cuma, dalam era moden ini masih ada rakyat Malaysia yang kelaparan, merayu demi sesuap nasi.

“Ini adalah satu tragis, oleh itu kerajaan mesti menangani cadangan pengeluaran KWSP ini seperti kita berada dalam krisis.

“Saya tidak nampak kenapa perlu ada rundingan untuk bersetuju atau tidak dengan cadangan ini. Fikirkan rakyat, dahulukan kepentingan rakyat,” jelasnya lagi.

Lagipun, kebenaran pengeluaran boleh dilakukan dengan pelbagai kaedah – berperingkat-peringkat atau bersyarat mengambil kira tempoh pemulihan Covid-19.

Katanya, kerajaan atau KWSP tidak perlu bimbang tentang isu penarafan kerana Covid-19 melanda satu dunia dan seluruh negara terlibat pun dalam keadaan kepayahan dalam menguruskan ekonomi masing-masing.

Sepatutnya yang lebih penting, lebih wajar diberi keutamaan adalah perut dan poket rakyat dalam menghadapi akibat Covid-19.

“Mahukah kita lihat rakyat hidup melarat dalam kemiskinan sedangkan mereka mempunyai peluang untuk memperbaiki nasib masing-masing dengan simpanan yang ada.

“Oleh itu lupakan alasan kekurangan dana besar atau akaun 1 akan hakis masa depan pencarum kerana kelangsungan hidup rakyat itu adalah lebih penting demi kestabilan negara.

“Negara kita telah melalui pelbagai fasa krisis ekonomi tetapi kita bangun dan menangani dengan cukup baik serta memajukan semula kehidupan rakyat.

“Jika Malaysia boleh buat dulu, tiada alasan untuk kita gagal pada masa depan.

”Kita masih ada banyak masa untuk memikirkan cara bagaimana untuk menjana pendapatan KWSP dengan lebih baik nanti supaya dapat diagihkan kepada rakyat.

“Tapi sebelum itu, selesai isu poket dan perut rakyat dahulu. Isu sekarang mahu atau tidak sahaja,” tambah beliau.

Ramon yakin, rakyat akan berbelanja jika mempunyai wang,  sekali gus akan membantu kerajaan merancakkan semula ekonomi negara yang kian muram.

”Jangan lupa perbelanjaan pengguna adalah salah satu komponen penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar dan sekurang-kurangnya cadangan ini memberi ruang kepada kerajaan untuk menyelaraskan kewangannya.

“Setidak-tidaknya kerajaan ada peluang untuk memikirkan tindakan seterusnya jika pandemik Covid-19 berlarutan dalam jangka panjang,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.