KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) hari ini menghadiri mesyuarat praParlimen bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Hotel Hilton, di sini hari ini.
Kehadiran mereka bertali arus dengan masing-masing dilihat muncul di pintu masuk hotel tersebut sejak pukul 12.30 tengahari tadi.
Muhyiddin antara yang terawal dilihat memasuki hotel berkenaan kira-kira jam 12.20 tengahari.
Sebelum itu, beberapa pemimpin lain seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang tiba lebih awal.
Lain-lain ialah Presiden Parti Bersatu Sabah, Datuk Seri Maximus Ongkili; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; dan Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran.
Mesyuarat hari ini dianggap penting kerana sidang Dewan Rakyat akan bermula esok dan bakal menyaksikan Belanjawan 2021 dibentangkan pada Jumaat ini.
Ia kemudian akan dibahas dalam kalangan 221 ahli Parlimen sebelum ia terbuka untuk undian sama ada akan diluluskan atau ditolak kemudiannya.
Secara keseluruhan Dewan Rakyat memiliki 222 kerusi namun, salah seorang daripadanya kosong ekoran kematian wakil Batu Sapi, Liew Vui Keong, baru-baru ini.
Untuk rekod, Kkerajaan PN pimpinan Muhyiddin kini bergantung kepada sokongan majoriti sangat tipis berdasarkan situasi pada Mei lalu.
Bagaimanapun, kedudukan itu kini diragui baru-baru ini ekoran perkembangan semasa politik dalam negara. – MalaysiaGazette