KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dilaporkan perlu mengehadkan pergerakan fizikal susulan kecederaan ligamen lutut.
Setiausaha Politiknya, Muhyidin Abdul Rashid dalam satu kenyataan hari ini berkata Ahmad Samsuri selamat menjalani pembedahan (ACL reconstruction and cartilage repair) di sebuah hospital petang tadi.
Katanya doktor telah menasihatkan Ahmad Samsuri mengurangkan pergerakan yang boleh memberi kesan kepada proses penyembuhan yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam minggu.
“Bagaimanapun, Menteri Besar akan tetap berusaha untuk meneruskan urusan pentadbiran dan mesyuarat kerajaan, agensi serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri seperti biasa,” katanya.
— BERNAMA