SINGAPURA – Harga minyak merosot lebih daripada 4% pada hari Isnin ke tahap terendah sejak Mei kerana kebimbangan pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh Eropah akan melemahkan permintaan bahan bakar, sementara para pedagang pula bersiap sedia menghadapi ‘pergolakan’ pada minggu pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS).
Minyak mentah Brent untuk Januari didagangkan pada AS$36.32 setong, turun AS$1.62, atau 4.3%, pada 0018 GMT, sementara West Texas Intermediate susut sebanyak AS$1.62 atau 4.5%, kepada AS$ 34.17 setong.
Brent sebelumnya mencecah paras terendah AS$35.74 setong sementara WTI merosot kepada AS$ 33.64 setong.
Negara-negara di seluruh Eropah telah melaksanakan semula sekatan pergerakan yang bertujuan untuk membendung lonjakan kadar jangkitan Covid-19 yang telah merebak dengan cepat di benua itu pada bulan lalu.
“Langkah-langkah sekatan pergerakan yang diumumkan oleh United Kingdom dan Itali hanya menambah kesukaran kepada keadaan Eropah.
“Banyak peniaga kini melihat AS dan kadar jangkitan yang meningkat serta tertanya-tanya apakah Eropah menyediakan model yang akan berlaku di AS dalam beberapa minggu akan datang,” kata Michael McCarthy, Ketua Strategi Pasaran CMC Markets di Sydney.
Bimbang dengan permintaan yang lemah dan peningkatan bekalan disebabkan kejatuhan harga minyak bagi dua bulan berturut-turut dalam bulan Oktober menyaksikan WTI jatuh 11% dan Brent 8.5%.
Bekalan dari Libya dan Iraq yang merupakan anggota Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkat bagi mengimbangi pemotongan pengeluaran oleh anggota lain, sekali gus menyaksikan pengeluaran kumpulan itu meningkat untuk bulan keempat pada bulan Oktober.
OPEC dan sekutunya termasuk Rusia, sebuah kumpulan yang dikenali sebagai OPEC +, mengurangkan pengeluaran sekitar 7.7 juta tong sehari dalam perjanjian yang bertujuan menyokong harga.
OPEC + dijadualkan mengadakan mesyuarat dasar pada 30 November dan 1 Disember ini. – MalaysiaGazette