KUALA LUMPUR – Antara mekanisme yang telah dilaksanakan kerajaan dalam menurunkan keluk penularan pandemik Covid-19 ialah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac dan berakhir Mei lepas.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof, pelaksanaan PKP juga bukan sahaja menurunkan keluk pandemik sebaliknya juga mencegah berlakunya gelombang kedua.
“Empat fasa PKP yang berakhir pada 12 Mei lepas telah digantikan pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dari 10 Jun sehingga 31 Ogos lepas.
“Itu juga adalah strategi exit secara berhati-hati dengan pembukaan secara berperingkat hampir semua sektor ekonomi dan sosial berpandukan SOP yang ditetapkan.
“Mekanisme pengurusan krisis negara yang dilaksanakan ini telah berjaya mengawal penularan wabak Covid-19 serta mengelakkan fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes terlalu tinggi,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat pagi ini.
Mohd Redzuan menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun (DAP) meminta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam membendung penularan Covid-19 yang sudah memasuki gelombang ketiga.
Jelas Mohd Redzuan lagi, mekanisme yang sedang dilaksanakan ketika ini pula membendung penularan Covid-19 ialah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara.
“PKPP ini ialah yang mana memerlukan semua sektor dan aktiviti dibenar beroperasi perlu mematuhi garis panduan atau SOP menekanan kepada amalan protokol kesihatan dan norma-norma baharu.
“Sekiranya berlaku peningkatan kes Covid-19 di mana-mana kawasan, kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan tindakan pencegahan, pemulihan atau mitigasi,” ujarnya. -MalaysiaGazette