Home Pendapat Sama rasa denyutan keperitan rakyat

Sama rasa denyutan keperitan rakyat

Seorang gelandangan dilihat tidur di hadapan premis semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Masjid India, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 APRIL 2020.

GELOMBANG ketiga Covid-19 yang memukul tanah air Malaysia sekarang telah ‘membolengkan’ lebih banyak cerita menyayat. Pada selekoh awal PKP dilaksanakan kita dikejutkan dengan banyaknya kisah-kisah tidak berbintang, tidak berdendang
memaparkan kesulitan dihadapi ramai warga miskin yang kehilangan sumber pencarian.Terbit ‘sinar’ kepada mereka. Terbuka mata banyak pihak. Tampil individu, kumpulan, pergerakan yang secara sukarela menghulurkan bantuan. Daripada berumahkan bangsal, kandang, pondok bocor, mereka mendapat pembelaan yang wajar dan layak sebagai rakyat merdeka. Ustaz Ebit Lew misalnya menjadi contoh. Itu bagi golongan miskin tegar yang rentan. Bagi kelompok B40 lainnya, kesan emosi dan fizikal tetap dirasa. Tetapi, masih boleh bernafas lega. Morotarium 6 bulan, diskaun bil elektrik, pengurangan kos
sewaan di premis milik kerajaan, serta banyak inisiatif yang diambil.

Namun, pada selekoh kali ini kesannya lebih terasa kerana banyak intensif oleh pihak kerajaan sebelumnya tidak lagi dinikmati. Tambahan pelaksanaan PKP sama ada bersyarat
atau diperketatkan dikuatkuasakan tidak seragam di seluruh Malaysia. Rungutan pemain ekonomi disamping ketidaktentuan iklim politik mengalahkan keutamaan kebajikan umum. Kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif, melalui PENJANA, bantuan BPN 2.0 dan banyak lagi. Namun, kesan covid-19 ini memukul begitu keras sekali. Masih ramai mengerang kesusahan. Pergerakan disekat, sedangkan perut tidak lagi mampu diikat. Anak-anak ramai, rumah kecil, jiran-jiran juga susah. Maka, kita dipertontonkan dengan berita mengharukan apabila seorang pakcik mengejar bot PoIis Marin di atas perairan Semporna dengan ratap harapan untuk mendapatkan pembelaan, umbangan makanan. ‘“Tolong tuan, kami tiada makanan.. Orang lain sudah dapat, kami belum.. Kami terpaksa turun laut cari makanan.. Kalau ada makanan, ndak kami Ianggar undan-undang2
PKPB tuan”. Kejadian dirakamkan pada 25 Oktober 2020 itu menjadi tular di media sosial.Ianya sepotong daripada ribuan cerita keluh kesah rakyat kesan Covid-19 ini.

Manakala, pada 30 Oktober 2020 diberitakan seorang ibu hami mewar-warkan kepada sesiapa yang memerlukan buah pinggang untuk dia jual. Alasannya satu – beban hutang bertimpa-timpa dan keputusan pencarian di tengah covid-19 mencanak.
Pena ini tidak dapat memungkiri, tidak diajar untuk memuji yang palsu. Di sebalik banyak inisiatif yang diambil pemerintah yang juga akan diambil oleh mana-mana kerajaan lain juga, dikalangan para pimpinan legislatif atau tepatnya ahli politik maraknya gelombang kali ini. Tidak syak lagi. Keadaan yang awalnya terkawal, satu angka meloncat ke dua angka dan kebelakangan ini melompat terus ke empat angka. Malaysia mengatasi Korea
Selatan. Negara yang begitu payah ditewaskan. Negara yang dahulunya menjadi lawan beradu sama kuat dalam Pestabola Merdeka, kerana kemajuannya begitu laju payah amat
memintas, kini kita bergaya meninggalkan mereka dengan pencapaian memberangsangkan kes harian Covid-19.
Kami menganjurkan kita sama-sama bersolidariti dengan rasa, usaha, doa dan kuasa. Membantu kelompok terjejas pada fasa ini adalah keutamaan melebihi keutamaan lain.

Majlis Belia Malaysia (MBM) menyeru agar pihak kerajaan menangguhkan dahulu projek-projek mega untuk memberikan tumpuan penuh terhadap pemulihan bukan sekadar ekonomi, malahan emosi, fizikal majoriti rakyat yang benar-benar enghadapi kesulitan sekarang. Trend global turut mengisyaratkan keresahan berat ini. Laporan media pada 21 Julai 2020 menyaksikan pemimpin Kesatuan Eropah (EU) mencapai kesepakatan penting mengenai bajet untuk tempoh tujuh tahun akan datang dan dana pemulihan besar-besaran di tengah-tengah pandemik Covid-19. Perundingan untuk mencapai eputusan berkenaan dikhabarkan berlangsung selama empat hari. Suatu rekod waktu yang lama menggambarkan gentingnya soal yang dilalui sekarang. Kesepakatan bernilai €1.82 trilion
(kira-kira AS$2.1 trilion), belum pernah berlaku sebelum ini, diumumkan untuk menghadapi kemelesetan terburuk dalam sejarah EU. Itu di rantau luar, sedangkan di tanah air kita sendiri juga keadaan yang berlaku ini di luar langsung daripada bulatan prihatin rakyat dan kerajaan. Dalam buku 7 Habits of Highly
Effective People karangan Stephen Covey menyebutkan salah satu konsep yang mempengaruhi cara kita berfikir dan bertindak dan pengaruhnya. Konsep yang dimaksud adalah Circle of Concern atau bulatan prihatin. Suatu keadaan yang mana lepas daripada kawalan manusia untuk mengaturnya. Covid-19 ini adalah pukulan hebat kepada dunia yang tiada siapa dapat menandinginya. Ukuran darjah jangkitan dan kematian mungkin
masih jauh daripada krisis Black Death yang berlaku sekitar 1347-1351 mengorbankan lebih kurang 200 juta penduduk Eropah dan sekitarnya dan Spanish Flu 1018-1919
meragut lebih kurang 50 juta orang. Namun, impak terhadap manusia moden yang serba serbi orientasi kehidupannya diukur oleh ‘benda’, tidak dapat dimungkiri memberikan luka besar.

Artikel Dr Zulkifli Hassan menarik untuk direnungi. Beliau mengutip pandangan Nouriel Roubini dalam artikel A Greater Depression yang menyatakan bahawa COVID-19 memberi
kejutan luar biasa kepada ekonomi dunia lebih teruk berbanding Krisis Kewangan 2018 dan The Great Depression 1929-1939. Sebelumnya, direkodkan, dalam masa dua minggu, 10 juta pekerjaan hilang di Amerika Syarikat, melebihi krisis kewangan 2008 di mana 8.8 juta hilang pekerjaan dalam masa 106 minggu.
Negara-negara yang dilihat sebelum ini mampan dan recession-proof (ekonomi kalis krisis) juga nampak goyang dan mungkin ada beberapa negara yang akan gagal teruk menangani pandemik ini. Dunia menyaksikan pakej rangsangan bernilai trillion dollar
disuntik termasuk negara-negara maju dan kaya untuk memberi nafas kepada ekonomi.

Manakala Astro Awani pula dalam laporan terbarunya pada 22 Oktober 2020 memaparkan kenyataan daripada Pesuruhjaya Ekonomi Eropah, Paolo Gentiloni yang memberi amaran kepada anggota Parlimen Eropah mengenai kesan ekonomi malap
akibat krisis Covid-19 dalam blok itu. Memetik angka yang dikeluarkan oleh dana kewangan antarabangsa, beliau menganggarkan kesan ekonomi daripada wabak itu untuk 2020 akan dua kali lebih buruk daripada krisis kewangan 2009.
“Ramalan terakhir, yang dikeluarkan beberapa jam yang lalu oleh IMF, menyatakan bahawa pertumbuhan negatif kawasan Euro pada 2020 adalah – 8.3. Sebagai perbandingan, kita mengalami pertumbuhan – 4.1 pada tahun 2009. Jadi semasa krisis kewangan kurang dari separuh krisis yang kita dapat, menurut ramalan ini pada tahun 2020. Peningkatan kemiskinan, menurut Bank Dunia akan terjadi di dunia sekitar 120 ke 140 juta dan ini dapat membahayakan usaha membasmi kemiskinan”.
Kerajaan Malaysia telah membelanjakan sebanyak RM 260 Billion dalam keseluruhan nilai pakej rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang dibentangkan pada 27 Mac termasuk PRIHATIN Tambahan dan PRE 2020. Namun, inisiatif ini diambil ketika negara berdepan gelombang pertama dan kedua awal dan pertengahan tahun. Ketika seluruh rakyat diperintahkan menjalani PKP. Namun kini setelah PKP dijalankan secara tidak seragam, bantuan one-off juga tidak dilaksanakan.

Menurut ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia trend peningkatan kes-kes positif Covid-19 secara mendadak di negara dalam gelombang ketiga Covid-19 ini, hanya dalam tempoh sebulan yang lalu, hampir 20,000 kes positif baharu dicatatkan di Malaysia berbanding 10,576 kes dalam tempoh 6 bulan sebelumnya. Jumlah keseluruhan kes positif setakat 30 Oktober 2020 ialah 30,090 kes dengan 246 kematian. Sabah mencatatkan jumlah kes yang tertinggi iaitu 13,701 kes. Negeri-negeri lain yang mencatatkan lebih 1 ribu kes ialah Selangor 4,360 kes, Kuala Lumpur 2,991 kes, Kedah 2,080 kes dan Negeri Sembilan 1,516 kes. Peta Sabah dan Selangor menunjukkan hampir keseluruhan kawasan telah menjadi merah, iaitu kawasan-kawasan mencatatkan kes Covid-19 melebihi 40 kes. Negeri-negeri yang dahulunya berstatus hijau, iaitu tiada langsung kes positif COVID-19 seperti Perak, Negeri Sembilan dan Melaka telah menjadi kuning dan sebahagian kawasan telah bertukar menjadi merah.

Bertolak daripada data-data ini kerajaan telah melaksanakan PKPD di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur serta tentu sekali di Sabah. Aktiviti ekonomi tidak dihalang. Pekerja masih boleh keluar dengan pergerakan minimum dan galakan bertugas daripada rumah. Keadaan tidak menyeluruh ini boleh mendatangkan ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi dan cairan tunai di tangan rakyat. Sekiranya pandemik dan perintah kawalan pelbagai peringkat ini berlanjutan, Malaysia mungkin berhadapan dengan pemulihan berbentuk keluk-K. Maksudnya, sesetengah industri memaparkan pemulihan ekonomi manakala industri lain terutamanya industri pelancongan dan penerbangan terus jatuh merudum. Laporan siri ke-2 ‘Families on the Edge’, oleh UNICEF dan UNFPA lebih merisaukan.

Dapatan menunjukkan satu daripada dua keluarga berpendapatan rendah di Kuala Lumpur kini berada dalam kemiskinan mutlak, dengan 37 peratus sukar membeli makanan mencukupi dan 70 peratus sukar memenuhi perbelanjaan keperluan asas. Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti impak segera (Immediate Impact) PKP terhadap golongan B40. Sebanyak 500 buah keluarga di kawasan pangsapuri kos rendah PPR di sekitar Lembah Klang telah menjadi responden kajian ini. Inisiatif PKP tidak tidak terpusat ini akan membawa kepada Pemulihan keluk-K dalam kalangan masyarakat. Golongan berpendapatan tinggi kurang terkesan, tetapi golongan B40 dan M40 terutamanya yang bekerja sendiri, akan kehilangan mata pencarian dan ini
akan menjejas kualiti kehidupan. Jurang ketidaksamarataan ekonomi akan semakin ketara.

Maka, adalah disyorkan Belanjawan 2021 memberikan tumpuan menyelamatkan pekerjaan, perniagaan dan perusahaan kecil dan sederhana yang terjejas teruk. Tidak syak lagi, Kerajaan diharapkan dapat menggandakan bantuan dan rangsangan menggunakan pendekatan bersasar kepada golongan yang paling terhimpit. Kita tidak boleh membiarkan rakyat hidup merana, perniagaan ditutup selamanya dan ekonomi negara
terperangkap dalam ‘irreversible damage’. Kita tidak mahu mengganggu emosi rakyat, tetapi inilah kenyataannya. Keperitan rakyat menghadapi pukulan covid-19 pada gelombang kali ini bukan basa basi lagi, tetapi realiti yang pahit. Ibarat menyuluh di tengah terang, badai ini sejelasnya dibawa oleh kluster ahli
politik yang mengintip kerusi di PRN Sabah. Kita tidak meletakkan salah antara telur dan ayam. Memang pekerjaan mereka untuk memastikan wujudnya kestabilan politik bagi memberi khidmat lebih berkesan kepada rakyat. Jadi, kini masanya menebus khilaf itu.

Ahli politik patut melipatgandakan lagi usaha menyampaikan hak rakyat terjejas melalui bantuan jangka pendek jangka panjang.
Seruan kepada kerajaan yang bakal membentangkan Belanjawan 2021 menjelang seminggu daripada sekarang. Berilah tumpuan sepenuhnya kepada menyelamatkan hak asasi dan emosi rakyat. Mereka berusaha dengan susah payah mandiri, tetapi bukan
kuasa mereka untuk menghalang Covid-19 mengganas lagi. Mereka telah mendisiplinkan diri, patuh dan taat ulul amri. Tetapi, tauladan di dada mereka juga yang sesak menanggung beban yang bukan datang daripada mereka.
.
Untuk waktu ini, marilah kita kiranya kerahkan segala ilmu, kemahiran, pelajaran yang digeluti selama ini untuk menuju ke arah menyelesaikan derita rakyat ini. Sedang ada orang mampu yang sanggup berselimut kekayaan, bongkak pongah dengan kelebihan yang Tuhan berikan, tidak terlintas langsung untuk berbahagi. Makna hidup sama memberi tiada dalam mimpinya. Dan kami percaya, rakyat Malaysia masih ramai yang
jaga. Tidak mahu lena bermimpikan bahagia sendiri. Ahli ilmu, ahli siasah, ahli ekonomi, budayawan, sasterawan bangkitkan suara keinsanan! Rasai bersama denyut suara
perpinggiran. Makmur mereka, makmur bersama!

 

Oleh: Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik, Majlis Belia Malaysia