WANITA – dari kecil hingga ke hujung usia – merupakan satu bahagian yang integral dalam masyarakat kita. Sejarah merekodkan sumbangan mereka terhadap negara sejak sebelum kemerdekaan hingga ke saat ini adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan. Selayaknya mereka menerima layanan sewajarnya sesuai dengan nilai universal rahmah yang diajarkan dalam Islam. Dalam kekalutan negara menghadapi wabak Covid-19, kita digemparkan dengan berita peningkatan kes keganasan rumah tangga terhadap wanita serta kanak-kanak. Andaian umum bahawa waktu bersama keluarga dapat dimanfaatkan sebaiknya bersama ahli keluarga nyata meleset.
Seawal April 2020, kajian oleh Shazana Agha daripada Women’s Aid Organisation (WAO) mendapati terdapat peningkatan sebanyak 57% panggilan Talian Nur daripada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga. Keganasan atau penderaan terhadap wanita hadir dalam pelbagai, sama ada berbentuk fizikal, psikologikal, seksual dan sosial. Contoh-contoh yang biasa terpampang di media termasuklah kes ragut, mangsa pukul di rumah serta gangguan seksual. Ledakan penggunaan media sosial juga telah mendedahkan wanita kepada keganasan secara maya termasuklah buli siber dan sindir badan.
Menurut panduan yang dikeluarkan oleh UN Women mengenai keganasan terhadap wanita, seorang wanita mengalami sekurang-kurangnya satu jenis keganasan terhadapnya di setiap peringkat usia bermula dari sejak sebelum kelahiran (mengejutkan bukan?), usia bayi, usia kanak-kanak, peringkat dewasa dan pada usia lanjut. Anggaran yang diperoleh dari rumusan kajian-kajian yang dijalankan di peringkat global oleh
UN Women memaparkan keadaan yang menggerunkan. Antaranya 4 dari 10 orang wanita mengalami keganasan berkaitan seks sepanjang hidup mereka, manakala 87,000 wanita pada tahun 2017 dibunuh secara sengaja dan sekurang-urangnya 4 dari 10 orang wanita mengakui mengalami gangguan seksual di tempat kerja.
Keganasan terhadap wanita dikenalpasti oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu cabaran untuk menjayakan sasaran dalam Agenda Pembangunan Lestari 2030 dan dalam mengarusperdanakan visi “Malaysia Menjadi Negara Rahmah”, sebuah NGO Islam iaitu Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) mengambil inisiatif menggerakkan “Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita” sempena sambutan Hari Penamatan Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa pada 25 November 2020 akan datang.
Ternyata menghentikan keganasan terhadap wanita merupakan suatu seruan yang sukar disahut terutamanya dalam konteks “keganasan terhadap wanita” itu sendiri kerana sudah menjadi satu norma yang sistemik dan mengakar dalam masyarakat.Mungkin sahaja kita boleh tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, namun ia memerlukan keberanian untuk dimulakan. Sebagaimana Arundhati Roy menulis dalam karyanya “The God of Small Things”: “Change is one thing. Acceptance is another” (Perubahan adalah satu perkara. Penerimaan adalah satu perkara yang lain.) Bukankah kita semua lahir dari rahim seorang wanita? Maka, apakah yang kita fikir, untuk sama merealisasikan ‘Kempen Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ sempena sambutan Hari Penamatan Keganasan Terhadap Wanita Antarabangsa ini? Ayuh bersama kita realisasikan.
Awang Ilham
Pertubuhan IKRAM Malaysia