Home Pendapat Pusat hemodialisis: Contohi YDPA yang prihatin kesihatan rakyat

Pusat hemodialisis: Contohi YDPA yang prihatin kesihatan rakyat

Pusat dialisis yang dibangunkan hasil kerjasama MAINS, PNB dan USIM.

BARU-baru ini Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah merasmikan Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Setiawangsa, Kuala Lumpur bagi kemudahan rawatan pesakit buah pinggang.

Pusat itu merupakan yang kedua yang mana pada tahun lepas baginda merasmikan pusat hemodialisis YASA di Cheras, Kuala Lumpur. 

Kesudian Seri Paduka mencemar duli merasmikan pusat berkenaan menggambarkan keprihatinan Seri Paduka dalam membantu pesakit buah pinggang khususnya yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan rawatan hemodialisis wajar dicontohi pihak lain.  

Perkembangan mutakhir mengenai pesakit buah pinggang wajar diberi perhatian pelbagai pihak.

Hal ini kerana maklumat dalam laman web World Kidney Day menjelaskan bahawa pada masa ini pesakit buah pinggang atau ginjal berjumlah sekitar 850 juta orang di seluruh dunia.

Lebih khusus, satu daripada 10 orang dewasa mengalami kegagalan buah pinggang kronik. Pada tahun 2040, dijangkakan penyakit ini menjadi penyebab kelima kepada kehilangan nyawa di peringkat global.  

 Di negara ini, maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan bilangan pesakit buah pinggang dijangka meningkat sehingga 106,000 orang menjelang 2040.  

Data National Renal Registry (NRR) Malaysia pula menunjukkan pada penghujung 2016 terdapat 39,711 pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang menjalani rawatan dialisis di seluruh negara.

Mereka memerlukan rawatan dialisis secara berkala, tiga kali seminggu dan setiap sesi mengambil masa tiga hingga empat jam.  

Pada tahun 2017, NRR melaporkan sebanyak 7,996 pesakit baharu dialisis dimana 6,862 adalah pesakit hemodialisis dan 1,134 adalah pesakit peritoneal dialisis.  

National Health Morbidity Survey 2018 menunjukkan prevalens penyakit buah pinggang kronik di Malaysia ialah sebanyak 15.5 peratus tahun 2018, meningkat daripada 9.1 peratus seperti yang direkodkan pada tahun 2011. 

Data di atas menunjukkan penyakit itu perlu diberi perhatian serius oleh masyarakat daripada terus bertambah bilangannya. Apatah lagi kos rawatan semakin meningkat dimana satu sesi hemodialisis kini  berjumlah RM170 dan ke atas dan bergantung kepada pusat hemodialisis itu sendiri. 

Pastinya kos tersebut akan meningkatkan perbelanjaan kerajaan dalam menyediakan kemudahan rawatan kepada pesakit buah pinggang selain daripada kos yang perlu ditanggung oleh pesakit itu sendiri dan keluarga mereka.   

“Mencegah lebih baik daripada mengubati.” Tentunya terdapat keperluan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat melalui aktiviti promosi dan publisiti mengenai pentingnya langkah-langkah pencegahan oleh KKM dan perlu disokong oleh hospital kerajaan dan swasta. 

Difahamkan Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) lain sering melaksanakan kempen untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang bahaya penyakit buah pinggang kronik. 

Kos tinggi untuk pesakit B40 

Kos yang tinggi untuk membiayai rawatan hemodialisis mungkin menjadi faktor penghalang kepada pesakit dalam kalangan B40 untuk mendapat rawatan tersebut.  

Semasa titah perasmian Pusat Hemodialisis di Cheras tahun lepas, baginda berharap lebih banyak pihak khususnya swasta tampil membantu golongan itu bagi mendapatkan rawatan hemodialisis.  

Dalam perkaitan ini, antara institusi yang menyahut harapan Al-Sultan Abdullah adalah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan.

Universiti itu menyediakan  pusat hemodialisis dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang dikenali sebagai Pusat Hemodialisis USIM-MAINS-PNB yang beroperasi di Nilai Square, Bandar Baru Nilai.

Data NRR menunjukkan pusat  tersebut merupakan salah satu daripada hampir 50 pusat kemudahan hemodialisis di negeri itu. Pusat tersebut adalah dibawah penyeliaan USIM Healthcare Sdn Bhd (UHSB). 

Menurut Pengarah Perubatan UHSB, Prof Madya Dr Mohd Radzniwan A. Rashid pusat itu telah diwujudkan sejak 2018 melalui hasil kerjasama antara USIM, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang membiayai secara waqaf untuk golongan asnaf di negeri tersebut. Buat masa ini terdapat sebanyak enam unit mesin hemodialisis disediakan di pusat itu. 

Bagaimanapun, pesakit bukan asnaf juga boleh mendapatkan rawatan hemodialisis dengan bayaran yang  berpatutan. 

Naib Canselor USIM, Profesor Dr Mohd Redza Wahidin sangat mengalu-alukan mana-mana pihak untuk bekerjasama secara strategik dalam bentuk kewangan dengan universiti itu bagi tujuan membiayai sebuah lagi unit di bangunan premis bersebelahan Pusat Hemodialisis USIM-MAINS-PNB tersebut.

Pembelian ini dapat menambah ruang sekaligus menempatkan banyak lagi mesin hemodiliasis bagi membolehkan lebih ramai pesakit mendapat menafaat rawatan hemodialisis di situ.  

Bantuan kewangan 

Daripada aspek kebajikan pesakit, difahamkan KKM membantu pesakit buah pinggang mendapat bantuan kewangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pusat Agihan Zakat terutama golongan kurang berkemampuan. 

Maklumat KKM menunjukkan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Kementerian itu berperanan mengurus para pesakit mendapat bantuan kewangan bagi memastikan rawatan pesakit berjalan dengan lancar.  

Bertepatan dengan tema hari kemerdekaan ke-63 tahun ini iaitu “Malaysia Prihatin”, tentunya usaha murni pelbagai pihak seperti universiti, badan korporat, institusi kewangan, swasta dan NGO mampu membantu pesakit buah pinggang mendapat rawatan seterusnya memudahkan mereka menjalani kehidupan seharian.

Bantuan tersebut menggambarkan keprihatinan rakyat Malaysia dalam meringankan beban pesakit dan keluarga pesakit.  

Sumbangan itu juga dapat membantu kerajaan dalam menyediakan dan menambah kemudahan mesin hemodialisis yang terbaik untuk rakyat di negara tercinta ini.  

Hal ini kerana sokongan dan peranan yang dimainkan oleh pelbagai pihak disamping ahli keluarga mampu memberikan kesan yang positif kepada pesakit tersebut. 

Masyarakat pula harus menjalani gaya hidup sihat dan positif dengan menjaga kesihatan melalui amalan pemakanan yang berkualiti, kerap beriadah, tidur yang cukup serta berupaya mengurus tekanan. Dengan demikian mampu mencegah penyakit buah pinggang daripada terus meningkat di negara ini. 

Oleh: Profesor Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
Penolong Naib Canselor (Perancangan Strategik dan Pengantarabangsaan),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai Negeri Sembilan.