KUALA LUMPUR – Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) mengecam sekeras-kerasnya ucapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron yang menyerang Islam, Nabi Muhammad SAW serta umat Islam secara terbuka.
Setiausaha Agungnya, Datuk Khairul Shahril Hamzah menyifatkan tindakan Macron itu sebagai tidak bertanggungjawab dan hanya mewujudkan ketegangan dalam kalangan masyarakat dunia, malah dilihat cuba mempromosi Islamofobia.
“Sesungguhnya ini adalah tindakan yang tidak dapat diterima dan tidak sepatutnya datang daripada seseorang yang bergelar presiden. Islam adalah agama kedamaian dan agama yang mendorong keharmonian.
“Kami menyeru supaya semua umat Islam di seluruh dunia bersatu padu dengan mengutuk kenyataan Presiden Macron.
“Malah kita mendesak agar beliau membuat permohonan maaf secara terbuka di atas kenyataan beliau yang bersifat retorik dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, dunia dikejutkan dengan tragedi berdarah 16 Oktober lalu di pinggir kota Paris, Perancis apabila seorang guru subjek sejarah di sebuah sekolah di Perancis, Samuel Paty telah dibunuh dengan dipenggal kepalanya.
Pembunuhan itu dilakukan oleh seorang pelajar Muslim sebagai tindak balas terhadap gurunya yang menghina Nabi Muhammad SAW dengan menayangkan beberapa lukisan penghinaan terhadap baginda kepada para pelajarnya.
Lebih mengecewakan, Macron mempertahankan tindakan guru tersebut dan memberikan anugerah khas Légion d’honneur dalam satu majlis yang diadakan di Universiti Sorbonne, pada 21 Oktober lalu.
Susulan kebiadapan itu, DPIM sebagai organisasi yang terlibat di peringkat antarabangsa tidak teragak-agak untuk memboikot produk keluaran Perancis dalam kalangan ahli badan itu di Malaysia sekiranya gagal memohon maaf.
“DPIM yang mewakili lebih daripada 2,000 usahawan Muslim di Malaysia menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan rasa terkejut terhadap kes pembunuhan Samuel Paty.
“Namun, kami menentang keras pelecehan yang telah dibuat oleh mendiang Samuel Paty ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang kita cintai.
“Sebarang perlecehan kepada apa-apa perkara yang melibatkan keagamaan hanya akan menimbulkan lebih banyak kebencian, perbezaan dan membawa kepada ketidakharmonian antara kepercayaan yang berbeza,” katanya lagi. – MalaysiaGazette