Home Utama Sultan Selangor mahu PBT, PDRM lebih tegas dalam pemantauan PKPB

Sultan Selangor mahu PBT, PDRM lebih tegas dalam pemantauan PKPB

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar lebih tegas semasa melakukan pemantauan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu.

Baginda melahirkan rasa kecewa kerana masih terdapat segelintir pihak yang tidak mengambil serius, lalai dan ingkar dalam mematuhi arahan PKPB khususnya pengendali premis-premis hiburan dan makanan.

Baginda khuatir sekiranya kedegilan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di bawah PKPB ini berterusan, penularan wabak berbahaya Covid-19 ini akan sukar untuk dibanteras sepenuhnya.

“Untuk rekod, pada 1 November 2020, Selangor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sejumlah 225 kes,” titah Tuanku yang dimuat naik di Facebook rasmi Pejabat Sultan Selangor hari ini.

Sementara itu, baginda turut berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada dua petugas Hospital Sungai Buloh, Selangor yang menerima pengiktirafan Anugerah Kesihatan Global (GHA 2020) baru-baru ini.

Dua petugas berkenaan adalah Ketua Jabatan Penyakit Berjangkit, Dr. C. Suresh Kumar dan Ketua Jabatan Anestesia dan Rawatan Rapi, Dr. Shaiful Azman Zakaria.

“Baginda amat berbangga dengan pencapaian cemerlang yang dicatatkan petugas-petugas barisan hadapan di Hospital Sungai Buloh khususnya dan di Selangor amnya, yang telah menunjukkan dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam usaha menghapuskan wabak berbahaya Covid-19.

“Baginda berharap para petugas barisan hadapan terus tabah dan cekal dalam menjalankan tugas masing-masing merawat pesakit Covid-19,” titah Tuanku lagi. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kawasan sg buloh, kebayak ramai yg tidak patuhi perintah pkpb di selangor, warga asing di kawasan hospital sg buloh terlalu ramai, yg haram dan yg tak haram, terutama pati dr indo n bangla, bukn itu shja, buka tanah kerajaan , tanam bunga sesuka hati, harap pihak berkuasa PBT, MDTG terutama sekali, jgn duk diam je, kawasan bukit lagong, pendatang asing sudah menceroboh tanah kerajaan sesuka hati, tapi pihak PBT n MDTG tiada tindakan apa2..harap bertindak lah, demi utk negeri selangor dan kawasan sg buloh, drpd pencerobohan tanah kerajaan olh warga asing..jgn biar smpai nasi sudah jadi bubur, baru nak bertindak, jgn sampai sperti kawasan paya jaras, yg pnuh dgn warga asing dari indo.

Comments are closed.