Home Nasional Fasa ketiga umrah: Arab Saudi sambut jemaah Pakistan, Indonesia

Fasa ketiga umrah: Arab Saudi sambut jemaah Pakistan, Indonesia

Punca penularan kes-kes dari kluster ini adalah disebabkan oleh aktiviti semasa melaksanakan umrah yang tidak mematuhi SOP.

KUALA LUMPUR – Arab Saudi pada Ahad menyambut kumpulan pertama jemaah umrah warga asing dari Pakistan dan Indonesia selepas menggantung visa ibadah itu pada Februari  lalu akibat penularan virus COVID-19 di seluruh dunia.

Menurut Kesatuan Agensi Berita Pertubuhan Kerjasama Islam OIC (UNA) dalam satu laporan berkata kumpulan tersebut yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah, disambut Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Muhammad Saleh Taher Benten bersama timbalannya Dr Abdulfattah Suliman Mashat dan pengarah lapangan terbang itu, Issam Nour.

Ketibaan jemaah berkenaan merupakan fasa ketiga kebenaran menunaikan umrah serta ziarah di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

“Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menetapkan bahawa setiap jemaah warga asing perlu menjalani kuarantin wajib selama tiga hari di hotel tertentu sebelum dibenarkan melaksanakan ibadah umrah.

“Selain itu, kementerian turut menetapkan prosedur operasi standard  (SOP) yang dipersetujui Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk syarikat dan perkhidmatan umrah bagi memastikan tindakan pencegahan virus COVID-19 dapat dilakukan,” kata laporan itu.

Berdasarkan rancangan strategik yang disusun Kerajaan Arab Saudi, fasa ketiga itu dijangka menyaksikan kemasukan 20,000 jemaah umrah, 60,000 jemaah menunaikan solat di Masjidil dan Masjid Nabawi dengan 19,500 pengunjung setiap hari.

Pada 23 September lepas, Arab Saudi telah mengumumkan empat fasa secara berperingkat bagi menerima semula kemasukan jemaah umrah dengan perlu mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa tempatan negara itu.

Fasa pertama bermula 4 Oktober lepas, membenarkan rakyat Arab Saudi dan penduduk di negara itu menunaikan umrah dengan 6,000 jemaah setiap hari, diikuti fasa kedua dalam kategori jemaah yang sama, ditingkatkan kepada 15,000 jemaah sehari.

Sementara fasa keempat, Arab Saudi akan membenarkan semua kategori jemaah menunaikan umrah dengan kapasiti 100 peratus daripada keluasan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi berdasarkan SOP ditetapkan.

— BERNAMA