PUTRAJAYA – Perkembangan terkini kes Covid-19 sehingga jam 12 tengah hari tadi menyaksikan jumlah kes yang pulih hari ini iaitu sebanyak 900 kes melebihi catatan kes baharu positif wabak tersebut.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah, sebanyak 834 kes positif direkodkan hari ini menjadikan jumlah kes kumulatif positif Covid-19 dalam negara setakat ini adalah sebanyak 33,339 kes.
Katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak berkenaan pula adalah 9,968 kes.
“Ingin dimaklumkan daripada kes baharu pada hari ini, terdapat tiga kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang melibatkan satu warganegara dan dua bukan warganegara yang tiba dari negara. Melibatkan satu kes dari Amerika Syarikat, juga satu dari India dan Indonesia,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 di sin.
Menurut Dr Noor Hisham, Sabah mencatatkan 503 kes positif hari ini, Wilayah Persekutuan Labuan (103), Pulau Pinang (21) manakala Wilayah Persekutuan KL 20 kes.
“16 kes di Negeri Sembilan, 14 di Sarawak, lapan kes di Johor, enam di Putrajaya, Perak dan Kedah masing-masing tiga kes.
“Kelantan dua kes dan Pahang satu,” kata beliau.
Selain itu tambahnya lagi terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 251 kes (0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya lagi.
Sebanyak 91 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 32 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu beliau turut memaklumkan lima kluster baharu dikenalpasti.
Kluster berkenaan melibatkan Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Tawau, Tenaga subzon Batu Arang di Wilayah Persekutuan Labuan, Gedong di Port Dickson dan Rembau, Wisma Seberkas di Kuching dan Seridana di Putrajaya. – MalaysiaGazette