Home Ekonomi MAS berunding untuk beli A330neo

MAS berunding untuk beli A330neo

KUALA LUMPUR – Malaysia Airlines Bhd. sedang mengadakan rundingan dengan Airbus SE mengenai pembelian pesawat badan lebar A330neo tetapi setakat ini masih belum bersetuju dengan harga bagi pesawat-pesawat berkenaan.

Syarikat penerbangan nasional itu masih mencari penjelasan berhubung beberapa aspek transaksi lain termasuk jadual penghantaran, demikian menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew dalam satu temubual dengan Bloomberg.

Tiada tempahan dibuat pada Persembahan Udara Paris minggu ini dan mungkin sehingga September depan, sekurang-kurangnya.

Mac lalu, MAB berkata mahu membeli di antara 25 hingga 30 buah pesawat A330neo atau Boeing 787 bagi penghantaran 2019 dan 2023 dengan nilai lebih AS$7 bilion.

Lima belas buah pesawat akan digunakan untuk menggantikan pesawat lama manakala selebihnya akan digunakan untuk pengembangan.

“Dengan harga minyak yang agak rendah dan dijangka stabil, pesawat terpakai juga menarik maka jumlahnya perlu ditambah,” katanya lagi.

Pesawat A330neo yang menampilkan enjin yang telah dinaik taraf daripada Rolls-Royce Holdings Plc., datang dalam dua saiz dan diiklankan pada harga AS$225 juta dan AS$291 juta sebelum diskaun sementara 787 Dreamliner hadir dalam tiga varian di antara AS$230 juta dan AS$313 juta.

Menurut Bellew, rundingan masih diteruskan berhubung pajakan kira-kira sedozen generasi A330 dengan separuh daripada jumlah pesawat tersebut diperlukan pada separuh pertama tahun depan dan bakinya pada 2019.

Mereka mungkin akan menggantikan Boeing 737 satu lorong bagi laluan jarak sederhana yang mampu menyokong pesawat badan lebar.- MalaysiaGazette