Home Nasional Wujudkan Job Bank untuk tangani pengangguran

Wujudkan Job Bank untuk tangani pengangguran

Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan mewujudkan skim jaminan pekerjaan atau Job Bank dalam menangani isu pemberhentian pekerja dan pengangguran akibat Covid-19.

Kaedahnya, kerajaan membelanjakan sejumlah kewangan untuk mengambil lebihan bekalan buruh dan menggajikan mereka bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti membina model ekonomi dan masyarakat.

Contohnya untuk kerja-kerja infra membaik pulih asas sekolah-sekolah dan taman-taman permainan di serata negara atau mewujudkan tenaga buruh untuk menjaga golongan sakit dan tua di rumah masing-masing.

Selain itu, menyediakan lebih banyak tenaga kerja bagi kerja-kerja alam sekitar atau tenaga kerja untuk mendigitalisasi dokumen-dokumen tertentu – baik dari segi indeks mahupun mendigitalisasi peta.

Pekerja-pekerja ini boleh dijadikan penterjemah untuk karya ilmu atau setidak-tidaknya pembantu guru di seluruh negara.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, negara memerlukan penawar dalam menangani isu pengangguran berbanding ‘ubat tahan sakit’.

”Antara penyakit asas ekonomi sekarang adalah pekerjaan (yakni pengangguran). 800,0000 menganggur.

”300,000-500,000 lagi anak muda yang tamat pengajian bakal memasuki pasaran pekerjaan dalam masa terdekat.

”Apa yang boleh dilaksana? Program subsidi upah yang saya cadangkan pada Mac tempoh hari wajar dilanjutkan. Alhamdulillah, dilaporkan itu antara pengisian Memorandum dari Pemuda UMNO Malaysia. Semoga mendapat perhatian kerajaan.

”Tetapi di saat aktiviti ekonomi masih meleset dan majikan lebih sanggup memberhentikan pekerja daripada membayar gaji walaupun disubsidi, apa yang boleh dibuat? Potongan cukai? Syarikat masih sanggup berhentikan pekerja. Banyak syarikat tiada untung pun untuk hendak bayar cukai.

”Insentif untuk ambil pekerja? Syarikat masih sanggup tak ambil pekerja baru langsung. Insentif untuk pelaburan? Pelaburan satu dunia menurun. Banyak syarikat dalam “survival mode”, bukan “expansion mode”. Dan bila mahu “expansion” pun, ia tidak akan berlaku sekelip mata,” katanya.

Shahril menambah, contoh itu hanya segelintir daripada contoh aktiviti ekonomi yang mudah, tidak memerlukan kepakaran mendalam (melainkan mungkin latihan asas) dan berunsur kemasyarakatan bukan bermotifkan keuntungan swasta .

Maka ia juga contoh-contoh aktiviti ekonomi yang lazimnya tidak akan terlaksana melalui kebergantungan kepada sektor swasta.

Jelasnya, tiada syarikat yang akan secara relanya berbelanja untuk bersihkan pantai atau mendigitalisasi buku kecuali jika diberi kontrak oleh kerajaan kerana “pasaran” swasta tidak akan membeli aktiviti ekonomi yang berunsur keuntungan.

”Jadi, adakah kita hendak terus dengan situasi sekarang, atau kita mahu menyelam sambil minum air, selesaikan pengangguran disamping membina masyarakat yang lebih murni, moden, hijau, penyayang?

Apabila pasaran kerja swasta telah pulih, maka sesiapa sahaja boleh cuba melaksana transisi kepada pekerjaan yang mereka mahukan.

Itulah idea “job bank” yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan negeri dan badan-badan bukan kerajaan yang juga boleh mengelolakan.

”Dari manakah Kerajaan hendak dapatkan duit untuk belanja? Saya akan kongsi dalam posting seterusnya. Berapa anggaran kos? Bayangkan jika secara purata, tenaga kerja di bawah skim ini dibayar RM1,500 sebulan.

”Andaikan maksimum 1 juta orang mengambil skim ini. RM 1.5 bilion sebulan = RM 18 bilion setahun. Ya, banyak, tetapi tidaklah terlalu besar sehingga di luar imaginasi dan kreativiti kerajaan. Jika boleh belanja berbilion untuk perkara lain, mengapa tidak untuk satu revolusi pasaran kerja yang menangani beberapa masalah dengan “direct” bukan secara segan-segan dan tidak langsung?,” katanya lagi.

Tambahan lagi, pengangguran bukan percuma untuk kerajaan, tetap ada kos – baik dari segi perbelanjaan tunai dan kebajikan oleh agensi-agensi kerajaan atau dari segi kos sosial tidak langsung yang mungkin lebih besar daripada RM18 bilion.

”Berapa orang murung, berapa bunuh diri, berapa perceraian, berapa keluarga musnah dan berapa banyak kes jenayah yang berpunca dari pengangguran serta tekanan pendapatan?

”Saya mengharapkan dalam Belanjawan 2021 ada inisiatif seperti ini. Covid-19 telah memusnahkan banyak andaian ekonomi kita. Selagi sektor swasta menghadapi kesusahan demi kesusahan, janganlah kita terus terikat kepada ideologi pasaran kapitalisme bebas. Pada saat inilah sektor awam perlu melindungi keadaan ekonomi.

”Jika kerajaan seperti Amerika Syarikat, UK, dan Eropah yang antaranya mempunyai tradisi kapitalisme jauh lebih lama dan mendalam dari Malaysia pun boleh berbelanja berbilion malah trilion, saya yakin kita mempunyai kebolehan serupa,” ujarnya. – MalaysiaGazette