KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menzahirkan takziah kepada keluarga anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Sabah yang meninggal dunia akibat Covid-19 semalam.
Beliau dalam masa yang sama turut menyifatkan pemergian Allahyarham Penguasa Kanan Bomba II, Alias Abu sebagai suatu kehilangan yang besar.
“Pemergiannya itu merupakan satu kehilangan besar buat keluarga Bomba Malaysia, yang selama ini tanpa mengenal erti penat dan lelah terlibat secara langsung dalam melakukan operasi sanitasi awam, dalam usaha negara mengekang penularan wabak Covid-19.
“Saya mendoakan ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai serta seluruh anggota Bomba tabah dan sabar dengan ujian yang menimpa ini.
“Marilah kita mendoakan semoga roh Allahyarham Alias Abu dicucuri rahmat dan diberikan kebaikan atas amal yang soleh serta ditempatkan bersama para syuhada,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam, Alias yang dirawat di di Hospital Queen Elizabeth I (HQE 1) meninggal pada jam 9.15 pagi.
Allahyarham bersama 15 pegawai bomba disahkan positif selepas menjalani ujian saringan Covid-19.
Difahamkan Allahyarham menghidap sakit jantung dan asma.- MalaysiaGazette
Allahummaghfirlahu warhamhu wa ‘afihi wa’fuanhu
Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga dia di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.