BRAVEHEART, sebuah filem yang memaparkan pertarungan hebat dan sejarah menarik antara Scotland dan England. Mel Gibson memerankan watak William Wallace, seorang jeneral berpengaruh dan dihormati seluruh rakyat Scotland hingga dilantik sebagai Guardian of Scotland. Namun perjuangan
Wallace berakhir tragis apabila Robert De Bruce, rakan sekutunya dalam perperangan Falkirk, belot dan menawarkan kesetiaan kepada Raja England ketika itu, King Edward I.
Akhirnya pada tahun 1305 William Wallace telah ditangkap dan dibunuh. Tentunya banyak yang boleh diteladani dari kisah ini, ternyata kepercayaan terhadap seseorang atau organisasi secara total adalah tindakan yang sangat berbahaya, kesetiaan yang sukar dinilai mungkin akan mendatangkan pengakhiran yang tragis bagi sebuah perjuangan.
Polemik politik tanah air terlihat semakin meruncing. Sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, rakyat Malaysia telah bersatu hati menerima beliau atas pilihan KDYMM Yang di-Pertuan Agong. Dimata rakyat, Tan Sri ialah pemimpin yang paling tepat dalam mengemudi negara berhadapan dengan pandemik Covid-19. Personaliti Tan Sri yang mesra, bersahaja dan bernuansa “kebapaan” menenangkan kegusaran rakyat.
Mereka merasakan inilah sosok pemimpin yang benar-benar mewakili mereka, memahami kesukaran yang ditanggung oleh golongan marhaen dan sentiasa tenang meski berdepan dengan situasi yang getir. Analoginya persis pasangan yang diatur perkahwinan oleh orang tuanya, namun bibit-bibit cinta
semakin lama semakin menggebu. Kepercayaan dan kebergantungan rakyat kepada Tan Sri kian utuh.
Namun begitu, panas yang disangka sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Mutakhir ini, kemelut politik nasional menampakkan sisi-sisi gelap yang meresahkan. Daripada langkah mengganggu-gugat pentadbiran kerajaan Warisan di Sabah yang berakhir dengan pilihan raya negeri sehingga mencetuskan penyebaran Covid-19 secara berleluasa sehingga ke pertelingkahan dalaman antara UMNO dengan PPBM yang menyaksikan Pas mengaut untung daripada kedua-dua belah pihak. Benteng keyakinan rakyat semakin terhakis.
Rata-rata rakyat sendiri keliru dengan apa yang sedang terjadi, malah jika ditanya apakah parti yang mentadbir negara sekarang, gelengan kepala ialah jawapan yang bakal diberi. Ketidakpastian ini adalah satu hal yang sangat berbahaya kerana ia merosakkan sistem percaya yang tertanam selama ini. Yang paling mengejutkan sekali gus membimbangkan ialah permohonanan
pelaksanaan darurat kepada YDP Agong atas alasan pilihan raya Sarawak perlu dilangsungkan. Namun, atas kebijaksanaan Raja-Raja Melayu usulan tersebut ditolak oleh YDP Agong.
Pada hemat saya, pengumuman darurat berkenaan hanya satu metode bagi menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada menjadi Perdana Menjadi. Ini juga satu tanda besar yang membuktikan bahawa Tan Sri telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen, sekali gus membuktikan ada dalam kalangan Ahli Parlimen yang berperanan sebagai gunting dalam lipatan, membelot kepada kerajaan Melayu Islam ini. Mungkin Tan Sri merasakan langkah ini adalah cubaan untuk melindungi rakyat daripada kepimpinan Datuk Seri Anwar, namun menidakkan seseorang ke atas apa yang berhak terhadapnya adalah satu tindakan yang tidak betul dan tidak berprinsip. Kita mestilah akur dan hormat akan sistem demokrasi negara serta pada setiap baris kata dalam Perlembagaan. Pahit bagi saya untuk menelan hakikat berada di bawah tampuk kerajaan PH, namun kerajaan hari ini juga berdiri atas sokongan dan cara yang sama. Lalu, apa bezanya kita dengan mereka?
Bukan itu sahaja, tindakan Tan Sri mengheret YDP Agong ke dalam kancah pergelutan kuasa ini juga adalah satu tindakan yang salah, institusi raja tidak boleh dilihat berat sebelah dan mengamalkan favoritism. Tindakan ini membahaya Institusi Raja kerana dikhuatiri akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada institusi ini. Tan Sri seharusnya tidak meletakkan YDP
Agong dalam situasi yang tidak selesa sebaliknya Tan Sri sepatutnya membuktikan kepada YDP Agong yang Tan Sri mempunyai sokongan yang cukup atau tidak dan memohon perkenan untuk berundur secara terhormat jika perlu.
Letak sebelah dahulu soal politik, takhta, pangkat dan kuasa. Prioriti teratas sekarang ialah rakyat yang terumbang-ambing menggagau pelampung untuk kelangsungan hidup dalam situasi pandemik yang penuh ketidakpastian. Tan Sri seharusnya jujur dan berterus terang dengan rakyat. Ambil sedikit masa dan perjelas duduk sebenar perkara dari hati ke hati. Rakyat sedia mendengar. Jelaskan kepada mereka mengapa kerajaan kini bermasalah dan mengapa Tan Sri harus berundur, siapa yang menjadi Robert De Bruce dalam kerajaan pada hari ini. Siapakah dalang pengkhianat?
Apakah jenis permintaan sesetengah pemimpin yang tak bisa di kompromi Tan Sri? Perincikan apakah peranan Datuk Seri Zahid dan Datuk Seri Najib dalam “permainan” ini. Seterusnya, biarkan sahaja rakyat menilai dan ahli- ahli UMNO yang menentukan nasib pemimpin mereka ini.. Nah, bukankah itu asas demokrasi yang kita pegang dan amalkan?
Rakyat Malaysia menganggap Tan Sri ialah pemimpin yang lain dari yang lain – pemimpin yang tidak meletakkan dirinya di puncak sehingga sukar didekati dan difahami. Tan Sri memperlakukan rakyat dengan matang tanpa menyogokkan mereka dengan gula-gula semata. Sosok inilah juga yang
didambakan mereka sekarang. Bukannya seorang pengecut yang
berselindung di sebalik kuasa. Tan Sri perlu memperjelas segala-galanya dengan jitu supaya rakyat dapat melihat hala tuju kepemimpinan negara. Situasi politik yang tidak menentu akan mempengaruhi ekonomi negara yang sudah pun berada dalam keadaan yang tidak stabil. Usahlah lagi keruhkan kondisi yang ada.
Tan Sri akan dilihat sebagai juara rakyat dengan berterus terang dan tidak mengambil bentuk atau bayang-bayang mana-mana pemimpin sebelum ini yang hanya menabur janji tetapi tidak ditepati.
Tan Sri tentunya tidak mahu dikenang dalam lipatan sejarah sebagai Perdana Menteri yang taksub kuasa, membelakangkan perlembagaan dan menganiaya rakyat yang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada pentadbiran Tan Sri.
Percayalah kepada rakyat dan bukan kepada kuasa, kedudukan atau wang ringgit. Insyaallah, rakyat akan bersama Tan Sri.
Aizat Fikri Nasir Fikri,
Bekas Timbalan Pengerusi UMNO London
Saudara pengarang, kalau tuan melihat menggunakan mata lalat, maka semua benda pun bangkai bg tuan. Cth, adakah kerana wakil Bersatu jd KM Sabah, maka punca perantakan politik Sabah berpunca dr percaturan Muhyidin? Tuan wakil UMNO takkan tak kenal Musa Aman tu dari parti mana dan sekutu BN, kawan baik parti tuan penulis sendiri. Tuan tulis seolah2 PM yg punya angkara hingga jatuh kerajaan Warisan Sabah hingga perlunya PRN dan tercetusnya gelombang ke 3 Covid 19.
Kedua, tuan kata PM mengheret YDPA dalam agenda isytihar darurat. Penulis tak kan tak tahu dalam perlembagaan, PM mmg oerlu mengadap perkenan YDPA utk umum darurat, xleh umum kot TV mcm tu saja.
Baik penulis pendapat penulis dlm blog parti tuan sahaja. Pendapat mata lalat tuan hanya sesuai utk ahli parti tuan yg masih gilakan kuasa.