SERDANG – “Sejak umur 14 tahun saya ikut pakcik yang ajar buat judi online ini tuan, sampai sekarang tidak pernah ditangkap polis, jadi saya tidak takut,”.
Itu pengakuan berani seorang lelaki berusia 36 tahun semasa memperkenalkan dirinya sebagai pemilik pusat judi atas talian yang ditahan dalam serbuan Ops Dadu khas di Pusat Komersial Jalan Koi, Batu 13 di Puchong malam tadi.
Dalam serbuan jam 10 malam itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, dua orang warga emas termasuk seorang bertongkat berusia 70 dan 77 tahun merupakan antara 15 individu yang ditahan di premis tersebut.
Katanya, tangkapan itu dilakukan hasil penyamaran anggota polis sebagai pelanggan dan pemantauan premis judi haram itu selama lebih lima hari lalu.
“Kami terlibat risikan dan pemantauan selama lebih lima hari selepas mengesyaki wujud kegiatan melanggar undang-undang.
“Malah semasa diserbu terdapat 10 pemain iaitu sembilan warga tempatan dan seorang warga Bangladesh berusia 30 hingga 77 tahun yang membayar wang taruhan dan bermain judi dalam laman web di komputer riba yang disediakan di setiap meja.
“Kita juga menahan lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang mengaku dirinya pemilik pusat judi online itu serta empat pekerja terdiri daripada dua wanita Indonesia dan sepasang suami isteri warga Myanmar berumur lingkungan 20-an.
“Mereka memasag kamera litar tertutup di setiap penjuru termasuk hadapan premis di pintu masuk tangga menuju ke pusat judi itu dan hanya pelanggan tetap sahaja dibenarkan dan muka baharu dilarang dan sudah beroperasi lebih empat tahun dan tidak pernah diserbu,” katanya kepada pemberita selepas kejayaan tersebut.
Katanya kesemua pekerja berkenaan tinggal di premis itu dalam dua bilik khas dan dapur disediakan di belakang ruang judi premis tersebut.
“Semakan dapati pemilik mengaut keuntungan bersih RM8,000 sebulan menerusi kegiatan haram ini selepas menolak perbelanjaan lain serta gaji pekerjanya RM1,200 sebulan.
“Kita berjaya merampas 17 komputer riba disyaaaki digunakan sebagai judi online, sebuah modem dan wang tunai RM68.
“Kesemua mereka akan dikompaun kerana melanggar PKPB iaitu RM1,000 termasuk pemilik premis atas kesalahan judi online dan beroperasi melebihi 10 malam tanpa mempedulikan PKP Covid-19.
“Kesemua pelanggan dan pekerja berkenaan akan disoal siasat lanjut sebelum dikompaun manakala warga asing yang mempunyai pasport sah tanpa permit kerja sah akan diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan sejawarnya,” ujar beliau.
Ketika disoal siasat, lelaki yang mengakui pemilik premis tersebut berkata, pusat judi berkenaan beroperasi 24 jam sehari dengan menempatkan pekerja secara syif.
“Saya sekarang 36 tahun tuan dan kerja judi ini saya buat sejak umur 14 tahun. Waktu itu pakcik saya buat judi online ini dan dia ajar saya dan terus ikut dia buat bisness judi online ini.
“Bangunan ini pun sudah lama kami buka kedai judi di sini, saya tidak takut sebab satu kalipun tidak pernah ditangkap polis, inilah kali pertama kena tangkap polis.
“Kalau orang menang judi saya guna akaun bank sendiri tukar masuk (pindah) wang itu kepada akaun orang yang sudah menang, kita tidak tutup judi, buka 24 jam bermula 12 tengahari setiap hari.
“Tadi ada pelanggan menang RM4,000, saya sudah masukkan wang dalam akaun dia,” dakwanya.
Sementara itu, seorang pekerja wanita warga Indonesia yang berusia 30-an pula mendakwa dia sudah bekerja lebih sebulan di premis itu dan sudah sebati dengan wajah pelanggan tetap.
“Saya tidak ada kerja lain kerana Covid-19 susah untuk cari kerja jadi saya bekerja di sini (pusat judi) dan dibayar gaji RM1,200 sebulan untuk jaga dan uruskan judi online,” akui wanita itu.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Pertaruhan 1953.
Razali berkata, beliau dan pasukannya tidak akan membenarkan operasi judi atas talian terus berkuasa di kawasan pentadbirannya dan komited mencegah habis-habisan sambil menggesa kerjasama orang ramai memberi bekerjasama menyalurkan maklumat kegiatan haram itu. – MalaysiaGazette