PUTRAJAYA – Kluster Seridana dikenal pasti selepas seorang anggota polis bantuan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang mempunyai tugas khas di Parlimen telah menjalani saringan dan didapati positif Covid-19.
Rentetan daripada itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, petugas kesihatan telah mengesan kontak rapat mangsa yang juga merupakan anggota polis bantuan di PMO di mana ketiga-tiganya juga didapati positif wabak tersebut.
Katanya, isteri anggota polis bantuan berkenaan juga positif Covid-19.
“Tiga rakan beliau (anggota polis bantuan terbabit) positif, dan isteri positif. Jadi saringan telah dijalankan di PMO.
“Ada kluster baru iaitu kluster Seridana yang melibatkan lima kes polis bantuan,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini pandemik Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, saringan pertama di Parlimen juga mengesan pegawai pembantu seorang Senator positif dan 12 kontak rapat dikesan dan disaring serta dikuarantin walaupun kesemuanya negatif.
Katanya, turut dikesan positif adalah jurubahasa iaitu tiga hari sebelum ke Parlimen dan tujuh kontak rapat yang dikenal pasti telah dikuarantin.
“Kita menasihati ahli Parlimen dan petugas di Parlimen supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya jangkitan Covid-19.
“Amalan SOP perlu menjadi keutamaan bukan sahaja ketika hadir di persidangan Dewan Rakyat, malahan ketika pulang ke kawasan masing-masing.
“Dalam tempoh enam minggu persidangan ini, bukan hanya patuh SOP di Parlimen, tetapi juga apabila kembali ke hotel atau komuniti pastikan amalkan SOP supaya tidak dijangkiti di luar juga.
“Kalau hadir ke perhimpunan Parlimen dan tak patuh SOP, kebarangkalian jangkitan itu ada. Walaupun terdapat saringan suhu, seperti yang sedia maklum, 60 hingga 70 peratus daripada pembawa adalah tidak bergejala.
“Inilah yang kita bimbangkan, risiko tetap ada..tapi kementerian kami akan jalankan penilaian risiko dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun supaya ujian saringan Covid-19 setiap dua minggu terhadap ahli Parlimen dan petugas di bangunan Parlimen.
“Harap dia (Speaker Dewan Rakyat) mempertimbangkan cadangan itu,” katanya. – MalaysiaGazette