Home Nasional Belanjawan 2021: Wujud skim jaminan pekerjaan bagi lepasan universiti – Prokens

Belanjawan 2021: Wujud skim jaminan pekerjaan bagi lepasan universiti – Prokens

OKU
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mewujudkan skim jaminan pekerjaan menerusi pembentangan Belanjawan 2021 bagi mengatasi masalah ribuan siswazah yang baharu tamat pengajian namun belum mendapat pekerjaan kesan penularan COVID-19.

Pengarah Kemahiran Insaniah dan Kebolehpasaran Pekerja (Prokens) Muhammad Abu Kadir Mubarak Ali berkata, skim berkenaan boleh dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun dengan menumpukan kepada sektor ekonomi yang mendapat permintaan industri.

Antara sektor berkenaan adalah sektor pembuatan pakaian peralatan pelindung diri (PPE) atau penghasilan cecair pencuci, pelitup muka, digital dalam talian, teknologi maklumat dan pembangunan perisian komputer.

“Dalam pandemik COVID-19, berlaku peningkatan syarikat mengecilkan operasi dan ada yang tutup, sekali gus berlaku pemberhentian pekerja…jumlah ini belum dikira mereka yang masih mencari peluang pekerjaan.

“Namun, ada juga sektor tertentu yang mendapat permintaan tinggi dan bidang ini harus diberi fokus.  Kewujudan skim jaminan pekerjaan misalnya akan menjadi platform untuk mereka mencari pengalaman dan meningkatkan kemahiran teknikal selari dengan kehendak pasaran semasa,” katanya kepada Bernama.

Selain itu, Muhammad Abu Kadir berpendapat golongan belia yang bekerja sendiri dan telah hilang pendapatan susulan pandemik COVID-19 juga harus diberikan bantuan bulanan bagi tempoh enam bulan bagi membantu mereka meneruskan kehidupan.

Katanya, usaha ini telah diamalkan di negara seperti Singapura, United Kingdom dan Australia yang mana kerajaan mereka membayar ‘gaji’ kepada belia yang terjejas sebagai bantuan asas sementara menunggu dunia pulih daripada COVID-19.

“Mereka ini adalah golongan yang tidak layak menerima bantuan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) kerana pekerjaan seperti peniaga, pekerja bebas dan pemandu e-hailing bukan dalam kategori pekerjaan tetap,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha pula mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan program Ladang Belia dengan menggunakan tanah kerajaan yang terbiar.

Katanya, bidang pertanian mungkin kurang popular, namun berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) iaitu 7.2 peratus, pertanian adalah satu-satunya industri yang berkembang pada suku kedua tahun ini.

“Penglibatan anak muda dalam bidang pertanian juga akan mengurangkan penghijrahan golongan itu dari desa ke bandar kerana bidang tersebut boleh dimajukan di mana-mana asalkan mereka diberi bimbingan sewajarnya,” katanya. – MalaysiaGazette