KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain berharap dua tonggak utama pasukan, Lee Tuck dan Dominique Da Sylva segera pulih sepenuhnya daripada kecederaan bagi menghadapi saingan TM Piala Malaysia berdepan PJ City FC, pada Sabtu ini.
Dua pemain itu berdepan kecederaan buku lali sewaktu sesi latihan dan sudah pun menjalani proses pemulihan sejak minggu lalu.
Walaubagaimanapun, Nafuzi menganggap kecederaan yang dialami Lee Tuck dan Da Sylva tidaklah terlalu serius dan percaya mereka mampu kembali cergas untuk berdepan lawan dalam aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi merebut slot ke suku akhir.
Prestasi dan tahap kecergasan mereka akan terus dipantau dalam latihan minggu ini bagi membolehkan Nafuzi tetap bersedia dengan pelan B sekiranya perkara tidak diingini berlaku menjelang sepak mula, Sabtu ini.
“Memang sekarang kita ada beberapa pemain yang dihimpit kecederaan termasuklah Lee Tuck dan Da Sylva, dan ada juga beberapa pemain tempatan lain yang turut cedera, tetapi tidaklah serius.
“Jadi, saya tidak mahu terlalu risau sangat, cuma memang berharap pemain ini terutmanya mereka berdua dapat betul-betul cergas sebab saya memang perlukan mereka untuk perlawanan itu nanti.
“Sekarang keadaan kaki mereka sudah bertambah baik, proses pemulihan juga berjalan lancar dan mereka nampak macam tidak sabar untuk betul-betul cergas nak kembali ke padang berlatih, jadi saya percaya mereka dapat beraksi Sabtu ini,” katanya.
Menjelang pertemuan dengan PJ City FC, Nafuzi tidak menolak skuad kendalian K Devan itu bakal memberi tentangan sengit dan dengan format kalah mati ini, apa sahaja boleh berlaku untuk mereka merebut slot ke suku akhir.
Tewas di suku akhir kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim lalu, Nafuzi nyata mengharapkan musim ini akan lebih memihak kepada TFC untuk melangkah jauh sehingga ke final.
“Kita memang tahu PJ City FC bukan pasukan yang mudah, bahkan mereka juga sentiasa penuh kejutan, sepertimana mereka pernah beri kejutan kepada lawan hebat seperti JDT.
“Dalam saingan liga musim ini, memang kita ada tewaskan mereka tetapi untuk Piala Malaysia, aksi ini adalah kalah mati, jadi semua orang akan bekerja keras untuk buru kemenangan dan apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Untuk itu, saya tidak mahu pemain-pemain ambil mudah, dan kita kena cuba sehabis baik untuk mara ke suku akhir”, katanya.
Undian TM Piala Malaysia menyaksikan tujuh perlawanan akan berlangsung dalam pusingan pertama ini.
Ini tidak termasuk pasukan Kuala Lumpur yang mendapat “Bye” untuk mara ke suku akhir secara automatik selepas lawan mereka Sabah tidak akan terlibat dalam saingan TM Piala Malaysia apabila tidak mendapat kebenaran keluar daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan. – MalaysiaGazette