KUALA LUMPUR Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melancarkan Program Kembara Prihatin Negara 2020 dalam usaha menyantuni rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 selain menyebar luas perkhidmatan dan inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan.
Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, program itu akan menjelajah ke 108 daerah di seluruh negara dan mensasarkan satu juta individiu sepanjang satu tahun pelaksanaan.
“Kembara ini juga akan bertumpu di kawasan-kawasan tumpuan awam seperti di Pasar Pagi/Pasar Tani/Pasar Malam, Kompleks Niaga, Pusat Komuniti Setempat, Taman Perumahan dan Projek Perumahan Rakyat/Projek Perumahan Awam.
“Program kembara ini juga merupakan satu kolabarasi strategik KPWKM bersama Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan lain – lain agensi Kerajaan, Syarikat Korporat dan NGO yang akan bersama-sama berganding bahu membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Rina berharap dengan pelaksanaan Program Kembara Prihatin Negara itu dapat mengoptimumkan sumber sedia ada secara bersama di antara agensi kerajaan,komuniti dan sektor korporat selaras dengan konsep Kebajikan Tanggungjawab Bersama. – MalaysiaGazette