PENULIS merupakan antara jutaan rakyat Malaysia yang amat teruja ketika ingin melangkah masuk ke tahun 2020. Sejak dari kecil sudah didendangkan dengan Wawasan 2020 dan pastinya pada tahun yang sekian lama dinantikan diharapkan dapat melihat pelbagai ‘impian hebat’ Malaysia akan menjelma di depan mata. Memetik ungkapan Nordin Ahmad dalam salah satu filem lakonannya ‘ku sangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari’, itulah yang penulis boleh simpulkan kepada realiti sebenar ditempuh rakyat dan negara pada tahun 2020. Malaysia tidak terkecuali dari dibadai pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan kisah selebihnya kita semua sedia ketahui apa yang telah dan sedang negara ini lalui. Pelbagai pihak terkesan dengan impaknya kerana ia menjejaskan sektor ekonomi negara dalam skala yang besar. Perniagaan gulung tikar, pekerja diberhentikan dan gaji dipotong antara kisah keluh-kesah rakyat pasca Covid-19 yang semakin terhimpit hidup mereka kerana kehilangan punca pendapatan.
Mengambil data yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sehingga 28 Oktober lalu, seramai 90,470 orang telah hilang pekerjaan pada tahun ini berdasarkan statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) PERKESO. Beberapa hari lalu juga, syarikat penerbangan Malindo Air menjadi bualan netizen apabila menyaksikan krew syarikat penerbangan tersebut saling mengucapkan selamat tinggal di sosial media sebagai tanda telah tamat perkhidmatan secara rasmi. Dilaporan di media, sekitar 2,200 kakitangan Malindo Air ditamatkan perkhidmatan bagi mengecilkan kos operasi syarikat berkenaan dan langkah yang sama sebenarnya turut dilaksanakan oleh pelbagai lagi syarikat penerbangan lain di seluruh dunia yang menerima tempias buruk akibat Covid-19.
Atas sebab itu, Belanjawan 2021 ini amat dinantikan oleh rakyat Malaysia, penganalisis dan pemerhati ekonomi dan semestinya juga para pelabur untuk melihat ‘bekal’ yang disediakan negara untuk mengharungi tahun hadapan yang pastinya lebih mencabar. Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz menyatakan lebih 6,600 cadangan berkaitan Belanjawan 2021 telah diterima oleh kementeriannya sehingga 2 November sejak konsultasi diadakan bermula Julai lalu. Cadangan yang diterima adalah hasil sesi konsultasi belanjawan bersama parti politik, wakil perniagaan, individu dan laman sesawang Belanjawan 2021 sendiri.
“Secara amnya, cadangan tertumpu kepada sokongan dan bantuan yang diperlukan untuk mengatasi kesan-kesan Covid-19 menjelang tahun 2021. Antara sektor dengan cadangan tertinggi, termasuklah kesihatan, sokongan pekerjaan, pendidikan dan industri Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS). Kementerian sedang memperhalusi kesemua cadangan untuk disertakan dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada Jumaat, 6 November ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Rakyat mengharapkan belanjawan yang akan dibentangkan nanti sebuah belanjawan yang inklusif, komprehensif dan paling utama dapat membantu meringankan bebanan kewangan mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup. Memainkan sentimen memberi kail atau ikan tidak lagi sesuai dalam keadaan semasa kerana waktu ini rakyat memerlukan kedua-duanya. Falsafah kail dan ikan selalu dijadikan bahan hujahan bagi menjustifikasikan alasan untuk menjadikan rakyat lebih berjaya, berdaya saing, mandiri dan tidak lagi bergantung kepada orang lain, mereka seharusnya diberikan kail bukannya lagi ikan oleh pemerintah (kerajaan).
Tetapi hanya dengan sebatang kail ditangan tanpa adanya ilmu memancing misalnya pengetahuan mengenai ikan, mengenal jenis umpan yang sesuai, di mana lubuk ikan berada atau jenis mata kail dan tali pancing yang boleh digunakan, akhirnya menatijahkan kail di tangan hanyalah sia-sia. Atas sebab itu, kail harus diberi bersama dengan pakej pengetahuan bagi memastikan si penerima dapat mempelajari proses menjadi pemancing yang baik. Kelak ikan yang dipancing bukan sahaja untuk mengisi perutnya sekeluarga,tetapi boleh menjadi sumber pendapatan seperti dijadikan ikan pekasam untuk dijual.
Menjadi pemancing yang baik memerlukan sedikit masa, justeru sepanjang proses itu dia perlu terus dibantu dengan diberikan ‘ikan’ oleh kerajaan. Begitulah keadaannya yang diharapkan rakyat dalam Belanjawan 2021 ini, sudah semestinya pelbagai inisiatif dan insentif disediakan untuk rakyat menjana pendapatan, tetapi sebelum hasilnya dapat dituai, pemberian bantuan kewangan amat diharapkan.
Sama ada bantuan tunai yang diberikan nanti datangnya dari kocek kerajaan sendiri seperti Bantuan Sara Hidup (BSH), pihak bank melanjutkan tempoh moratorium secara automatik atau rakyat diberikan lampu hijau untuk mengeluarkan sedikit duit tabungan mereka dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), percayalah semua bentuk bantuan kewangan seumpama ini amat diharapkan oleh rakyat untuk diumumkan oleh Menteri Kewangan pada Jumaat nanti.
Melalui pengamatan penulisa, kerajaan sudah berusaha sehabis baik sebelum ini melalui pelan rangsangan ekonomi PRIHATIN, PRIHATIN PKS+, PENJANA dan KITA PRIHATIN bermula Mac lalu. Apa yang pasti, Belanjawan 2021 adalah kesinambungan pencapaian kepada pakej-pakej tersebut yang bermatlamatkan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi. Moga rakyat tersenyum gembira petang Jumaat nanti.
Oleh: Zaini Othman, Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM. Penulisan ini adalah merupakan pandangan peribadi penulis