Home Sukan Doktor terkejut tahap pemulihan Maradona

Doktor terkejut tahap pemulihan Maradona

Diego Maradona.

ARGENTINA –  Tahap pemulihan legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona selepas menjalani pembedahan darah beku di bahagian otak mengejutkan doktor perubatan.

Doktor yang berjaya melakukan pembedahan itu mengakui ‘terkejut’ dengan keadaan Maradona yang berusia 60 tahun dan kini berada dalam keadaan baik.

Semalam, pakar bedah di klinik swasta dekat Buenos Aires, Dr Leopoldo Luque mengambil masa 80 minit bagi membuang darah beku itu.

“Namun kami perlu terus memantau kerana dia masih dalam tempoh selepas pembedahan walaupun jelas dia tiada komplikasi lain berkaitan otak.

“Ada petunjuk lain yang perlu kami nilaikan kerana ia masih terlalu awal,” kata Luque.

Berita itu mencetuskan kegembiraan buat penyokong Maradona yang hadir di luar klinik untuk memberi sokongan sambil menggantung kain rentang menunjukkan zaman kegemilangan bekas pemain itu. – MalaysiaGazette