Home Nasional 20 barang keperluan dalam Skim Harga Maksimum Deepavali

20 barang keperluan dalam Skim Harga Maksimum Deepavali

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 barangan keperluan semasa yang dikenalpasti dan ditentukan harga maksimum menerusi pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena perayaan Deepavali pada 13 November ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada kesemua barangan kawalan berkenaan terdapat dua  barangan baharu  dimasukkan iaitu timun dan kacang panjang.

“Barangan ini dimasukkan hasil maklum balas daripada masyarakat India dan kajian trend yang dilakukan pihak kementerian terhadap barangan yang mendapat permintaan tinggi semasa menjelang perayaan Deepavali 2020,” katanya ketika sidang media secara Live Facebook yang disiarkan oleh KPDNHEP hari ini.

Terdahulu Alexander memaklumkan SHMMP akan berkuatkuasa pada 9 sehingga 17 November 2020 iaitu lima hari sebelum Hari Deepavali dan tiga hari selepas perayaan berkenaan.

Jelas beliau, tempoh lapan hari akan memberi peluang kelada   pengguna untuk menikmati harga barang yang berpatutan dalam masa yang sama peniaga juga  tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang sesuai.

“Tempoh pelaksanaan ini adalah bersesuaian mengikut keadaan semasa, iaitu suasana menang- menang kepada pengguna dan peniaga,” katanya lagi.

Alexander selain itu memaklumkan harga maksimum pengeluar, borong dan runcit ditentukan di 91 buah daerah di Semenanjung, 32 buah daerah di Sarawak, 27 buah daerah di Sabah dan sebuah daerah di Wilayah Persekutuan Labuan.

Penentuan itu, jelasnya  dibuat mengikut kewajaran dan kesesuaian bagi penguatkuasaan kawalan harga yang lebih berkesan bagi memastikan harga yang berpatutan demi manfaat rakyat.

Sehubungan ini, harga maksimum ditentukan di peringkat pengeluaran (ladang) bagi ayam hidup dan telur ayam.

“Penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal dan perubahan kadar tukaran mata wang,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Berikut adalah senarai harga barangan harga terkawal bagi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2020 adalah seperti berikut:

(1) Ayam hidup

(2) Ayam standard (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya)

(3) Ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

(4) Daging kambing tempatan bertulang.

(5) Daging kambing dan bebiri import bertulang.

(6) Telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram hingga 69.9 gram sebiji).

(7) Telur ayam gred B (berat antara 60.0 gram hingga 64.9 gram sebiji).

(8) Telur ayam gred C (berat antara 55.0 gram hingga 59.9 gram sebiji).

(9) Tomato

(10) Kubis bulat import (Indonesia dan China tidak termasuk kubis Beijing).

(11) Kacang Bendi.

(12) Timun.

(13) Kacang panjang.

(14) Cili kering.

(15) Kelapa biji.

(*Harga maksimum di peringkat borong sahaja)

(16) Kelapa parut.

(*Harga maksimum di peringkat runcit sahaja)

(17) Bawang merah kecil (India).

(18) Bawang merah besar import.

(19) Ubi kentang import (China).

(20) Kacang dal (Australia).- MalaysiaGazette

POSTER BERKAITAN: