Home Utama PKPB di Mukim Rasau, Parit Buntar dan Jimah

PKPB di Mukim Rasau, Parit Buntar dan Jimah

Banyak pihak meminta sekatan pergerakan diperketatkan susulan lonjakan kes Covid-19.

KUALA LUMPUR- Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan tiga mukim di tiga buah negeri iaitu Parit Buntar, Perak; Rasau, Terengganu dan Jimah, Negeri Sembilan berkuatkuasa 7 hingga 20 November ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB di ketiga-tiga mukim berkenaan adalah disebabkan oleh peningkatan kes positif Covid-19 di kawasan tersebut.

“Keadaan masih tidak stabil, ada kawasan yang kita tamatkan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ada pula kawasan yang kita terpaksa laksanakan PKPB seperti di Parit Buntar, Jimah dan Rasau.

“Jadi, kita semua tidak boleh terlalu selesa kerana keadaannya masih belum reda,” katanya semasa sidang media harian hari ini.

PKPB terpaksa dilaksanakan di Mukim Parit Buntar kerana setakat 3 November lalu, sebanyak 12 kes positif Covid-19 telah dikesan dan penilaian risiko yang dijalankan KKM menunjukkan terdapat trend peningkatan berlaku di mukim tersebut.

PKPB Mukim Parit Buntar akan melibatkan seramai 45,359 orang penduduk dengan jumlah 7,847 unit rumah.

Bagi Mukim Rasau, Dungun, Terengganu pula, PKPB terpaksa dilaksanakan kerana setakat 4 November 2020, sebanyak 25 kes positif telah direkodkan.

KKM menurut Ismail Sabri telah melaksanakan 2,832 saringan Covid-19 di kawasan tersebut setakat 4 November lalu dan akan terus melaksanakan saringan secara bersasar di mukim berkenaan.

PKPB di mukim tersebut akan melibatkan seramai 43,687 orang penduduk.

Manakala di Mukim Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan setakat 3 November lalu sebanyak 11 kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam masa seminggu dan kesemua kes adalah bergejala.

“Atas nasihat dan penilaian risiko yang dijalankan oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPB di Mukim Jimah, Port Dickson, Negeri Sembilan berkuatkuasa 7 November sehingga 20 November 2020.

“PKPB ini akan melibatkan seramai 24,540 orang penduduk.

“Pelaksanaan PKPB ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di mukim ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ini semua hal politik prk sabah , orang politik yang harus dipersalahkan.. engko orang punya hal , habis satu malaysia naik kes..
    hanjirrrrrrrrr

Comments are closed.