KUALA LUMPIR – Mangsa banjir kilat di Sepang yang telah dipindahkan di penempatan sementara hari ini menerima sumbangan daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, ketika ini kesemua mangsa telah ditempatkan di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) di kawasan Dengkil.
“Kementerian akan memastikan semua mangsa banjir tidak kira di kawasan mana sekalipun dapat menerima bantuan sewajarnya,” katanya ketika hadir menyampaikan sumbangan di Dewan Orang Ramai Dengkil hari ini.
Setakat ini, sebanyak tiga PPS yang telah dibuka di kawasan Dengkil terdiri daripada Dewan Orang Ramai Dengkil, Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, dan Sekolah Rendah Agama Dengkil yang menempatkan beberapa jumlah keluarga.
Cuaca hujan lebat berterusan sejak jam 6 petang Rabu lalu mengakibatkan beberapa kawasan di sekitar Kajang dan Hulu Langat dinaiki air.
Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir berkata, pembukaan PPS berkenaan berikutan hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Langat dan Sungai Semenyih meningkat hingga melimpah ke kawasan berpenduduk.
Menurut Muhammad Izzat, pihaknya akan membuka beberapa lagi PPS sekiranya berlaku pertambahan mangsa selain ia juga selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB).
Turut berdepan situasi sama adalah kawasan di Hulu Langat, Gombak dan Sepang.-MalaysiaGazette