PUTRAJAYA – Individu yang berada di zon merah Covid-19 dan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diminta tidak merentas daerah atau negeri bagi membendung penularan pandemik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan kajian mendapati 60 hingga 70 peratus individu yang dijangkiti wabak itu tidak menunjukkan sebarang gejala.
Justeru, beliau menjelaskan, pihaknya bimbang risiko individu terbabit membawa virus berkenaan ke kawasan zon hijau Covid-19 sehingga mencetuskan kluster jangkitan baharu.
“Saya memohon supaya rakyat duduk di rumah dalam dua minggu ini dan mengelakkan balik kampung khususnya dari zon merah ke zon hijau.
“Semalam, ada kes seorang jururawat dari Lembah Klang pulang ke kampungnya di Kelantan. Dia sudah menjangkiti empat ahli keluarganya termasuk seorang bayi berusia 22 hari dan nenek berumur 75 tahun,” katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19, di kementeriannya hari ini.
Noor Hisham turut meminta individu di zon hijau supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga dan mengelakkan berjumpa individu dari zon merah.
“Itu kebimbangan kita (berjumpa individu dari zon merah) jika ada aktiviti merentas sempadan,” katanya.
Sementara itu Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesuatu kawasan adalah berdasarkan penilaian jangkitan Covid-19 bukan berdasarkan kod warna zon sesuatu lokaliti.
Beliau berkata, pihaknya melakukan penilaian risiko sebelum melaksanakan PKPB atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu-satu kawasan.
“Sebagai contoh, ada kawasan yang diisytiharkan zon kuning namun tetap dikenakan PKPB atau PKPD. Ini kerana penilaian risiko pihak kita menunjukkan kawasan berkenaan ada banyak kluster aktif atau berdekatan dengan negeri yang mempunyai banyak kes aktif.
“Jadi sebelum ia merebak, kita sekat dahulu (laksanakan PKPB) walaupun kawasan berkenaan bukannya zon merah,” jelasnya.
Tambah Noor Hisham, pihaknya kini memperkenalkan zon jingga dan kawasan berkenaan akan dijalankan penilaian risiko sama ada ia mempunyai risiko jangkitan yang tinggi atau sebaliknya.
“Kalau kawasan itu adalah zon jingga atau merah namun ia masih terkawal seperti kes di dalam penjara, kita akan laksanakan PKPD pada lokaliti atau secara bersasar sahaja,” jelas beliau. – MalaysiaGazette