Home Sukan Piala Malaysia: Manzoor tetap hormat Felda United

Piala Malaysia: Manzoor tetap hormat Felda United

Manzoor Azwira. Foto Facebook Penang FA.

KUALA LUMPUR – Perlawanan antara Pulau Pinang dan Felda United di Stadium Bandaraya malam ini dijangka menarik dengan peluang dilihat seimbang buat kedua-dua pasukan untuk mara ke suku akhir.

Menurut ketua jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira, beliau tetap menghormati skuad kendalian Nidzam Jamil itu yang disifatkan mempunyai pengalaman beraksi di pentas tertinggi terutama di TM Piala Malaysia biarpun pasukan itu sekadar menamatkan cabaran di tangga ke-11 CIMB Liga Super musim ini.

Ditambah Felda turut dihimpit pelbagai masalah dalaman selain tidak boleh beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim depan, Manzoor sama sekali tidak mahu menjadikan faktor itu  buatkan pemain-pemain skuad Harimau Kumbang berasa terlalu yakin yang mereka boleh menewaskan Felda tanpa sebarang masalah.

“Apa yang berlaku kepada Felda, bagi saya itu adalah masalah di peringkat pengurusan dan tiada kena mengena dengan prestasi pemain mereka di atas padang.

“Pemain-pemain Felda sudah pasti mahu membuktikan sesuatu serta mahu jadikan platform Piala Malaysia ini sebagai medan terakhir memperagakan bakat mereka dalam mencari pasukan baharu musim depan.

“Buat pemain Pulau Pinang, saya sudah tekankan jangan lagi terbuai-buai dengan kejuaraan Liga Premier kerana ini adalah aksi di pentas yang lebih sukar iaitu TM Piala Malaysia.

“Semua pemain berada di tahap terbaik kecuali Casagrande yang tidak 100 peratus cergas tetapi saya jangkakan dia boleh turun beraksi pada kesebelasan utama nanti,” katanya.

Tiga perlawanan pusingan pertama TM Piala Malaysia akan berlangsung pada malam iniselain aksi antara JDT dan Kuching FA di Stadium Tan Sri Dato’ Hj Hassan Yunos, Pulau Pinang akan menerima kunjungan Felda United manakala aksi tumpuan, Kedah bakal menentang Pahang di Stadium Darul Aman. – MalaysiaGazette