Home Belanjawan 2021 Eksport pulih 2.7% tahun depan

Eksport pulih 2.7% tahun depan

Pelabuhan Tanjung Pelepas

KUALA LUMPUR – Eksport kasar dijangka kembali pulih sebanyak 2.7% pada tahun 2021 berikutan pemulihan perdagangan dan rantaian bekalan global.

Eksport barangan pembuatan dijangka pulih sebanyak 2.5%, disokong oleh peningkatan permintaan untuk produk elektrik dan elektronik (E&E) dan bukan E&E.

Permintaan yang lebih tinggi bagi semikonduktor, kelengkapan peralatan telekomunikasi serta pemprosesan data automatik selari dengan transformasi digital dan penggunaan 5G di peringkat global dijangla meningkatkan eksport E&E sebanyak 3%.

Pada masa sama, eksport bukan E&E dijangka berkembang sebanyak 2.1% berikutan permintaan lebih tinggi untuk kimia dan produk kimia, getah dan barangan pembuatan logam.

Menurut Tinjauan Ekonomi 2021, eksport barangan pertanian berkembang sebanyak 4.4% pada tahun 2021 dipacu oleh peningkatan permintaan bagi minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit dan getah asli.

Sejajar dengan pemilihan ekonomi dunia serta peningkatan harga minyak mentah, terimaan eksport barangan perlombongan dijangka pulih sebanyak 2.1% disumbangkan oleh permintaan lebih tinggi daripada pasaran utama bagi minyak mentah (2%) dan gas asli cecair (2.2%).

Dalam pada itu, import kasar dijangka kembali pulih sebanyak 5.3% pada tahun 2021, disokong oleh peningkatan dalam semua jenis import.

Import barangan pengantara diunjur meningkat sebanyak 5.2% terutama disebabkan oleh pengembangan dalam sektor pembuatan dan pembinaan.

Pada masa sama, import barangan modal diunjur meningkat sebanyak 14.3% disebabkan peningkatan aktiviti pelaburan dan penerusan projek strategik.

Import barangan penggunaan dijangka meningkat sebanyak 3% daripada isi rumah berikutan pemulihan keyakinan pengguna dan pendapatan. – MalaysiaGazette