DENPASAR – Empat warga asing meloloskan diri dari penjara Kerobokan di pulau peranginan Bali dengan menggunakan terowong, kata ketua penjara hari ini.
Tony Nainggolan menyenaraikan nama banduan yang melarikan diri itu ialah warga Australia, Shaun Edward Davidson, Dimitar Nikolov (Bulgaria), Sayed Muhammad (India) dan Tee Kok King (Malaysia), lapor Reuters.
“Terowong itu sepanjang 12 meter dan kami mengesyaki masa lebih seminggu diambil untuk membinanya,” kata Nainggolan sambil menambah, polis telah melancarkan gerakan memburu mereka dan percara banduan lelaki itu masih masih berada di Bali dan tidak jauh dari penjara tersebut.
Sementara itu, newscom.au melaporkan, diameter terowong tersebut berukuran 40 sentimeter dan ia bermula di belakang klinik penjara melalui bawah tembok penjara dan berakhir berhampiran menara pengawal.
Davidson dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan selepas didapati bersalah menggunakan dokumen perjalanan palsu pada September tahun lalu.
Nikolov menghadapi pertuduhan penipuan mesin ATM manakala Sayed Muhammad menghadapi pertuduhan pengedaran dadah dan Kok Ming pula menghadapi pertuduhan dadah. – Agensi